Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) berkata Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) sedang meneliti gambar bahan yang dijumpai itu untuk menentukan sama ada analisis lanjut perlu dibuat dan ia mempunyai kaitan dengan kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370.
ATSB juga memberi gambar berkenaan kepada pasukan penyiasat Malaysia, agensi yang menyelia operasi mencari pesawat malang itu, kata JACC dalam kenyataan terkininya pada Rabu.
Operasi mencari pada Rabu dilakukan di kawasan kira-kira 855 km di barat laut Perth.
Operasi melibatkan pelbagai negara dilancarkan untuk mencari pesawat Boeing 777-200 itu, mula-mula di Laut China Selatan dan kemudian di selatan Lautan Hindi apabila ia didapati melencong daripada laluan asalanya.
Apabila analisis terhadap data satelit menunjukkan kedudukan terakhir pesawat itu ialah di tengah-tengah Lautan Hindi, di barat Perth, Australia, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pada 24 Mac bahawa Penerbangan MH370 "berakhir di selatan Lautan Hindi".