suria

Siasat Kenapa Tiada Polis Di Rumah Karpal, Dewan Sri Pinang - Guan Eng

Upacara penghormatan terakhir untuk mendiang Karpal Singh di Dewan Sri Pinang

GEORGETOWN: Kerajaan Pulau Pinang akan menjalankan bedah siasat bagi mengenal pasti punca ketiadaan polis bertugas di kediaman mendiang Karpal Singh dan sekitar Dewan Sri Pinang, Ahad lalu.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata sekalipun polis banyak membantu ketika upacara penghormatan terakhir di kediaman mendiang dari hari pertama hingga ketiga, polis tidak muncul seperti yang dirancang pada hari keempat, khususnya ketika jasad Karpal Singh hendak dibawa dari kediaman ke Dewan Sri Pinang.

"Mungkin polis ada tetapi bukan seperti yang dirancang khususnya pada waktu pagi ketika jasad mendiang hendak dibawa ke Dewan Sri Pinang dan ketika ketibaan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas dan isteri, Toh Puan Majimor Shariff.

"Saya melihat tiada kawalan polis di Dewan Sri Pinang dan Tun Abdul Rahman mengalami kesusahan untuk berjalan menuju ke dewan," katanya kepada pemberita di sini, Rabu.

Guan Eng juga mendakwa polis tidak muncul seperti yang dirancang untuk mengawal orang ramai di luar Dewan Sri Pinang.

Kerajaan negeri hanya bergantung kepada pasukan peronda sukarela untuk membantu mengawal orang ramai yang membanjiri Dewan Sri Pinang bagi memberi penghormatan terakhir kepada Karpal Singh, katanya.

Semalam, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi menafikan ketiadaan polis membantu semasa upacara penghormatan terakhir kepada Karpal Singh dan menyatakan lebih 50 pegawai serta anggota bertugas sepanjang empat hari berkenaan termasuk ketika upacara pembakaran mayat Anggota Parlimen Bukit Gelugor itu di Krematorium Batu Gantung, Ahad lalu.

Abdul Rahim berkata, selain menjaga lalu lintas, pihaknya turut menempatkan pegawai dan anggota di rumah mendiang di Jalan Utama, di sini serta dua balai polis bergerak di pekarangan Dewan Sri Pinang ketika mayat mendiang dibawa ke situ untuk penghormatan terakhir.

Karpal Singh, 74, bersama pembantu peribadinya, Michael Cornelius, 39, maut dalam kemalangan pada 1.10 pagi di Km 306.1 Lebuhraya Utara-Selatan laluan utara berhampiran Gua Tempurung di Kampar, Khamis lalu.


Artikel Lain