SANDAKAN: Dua nelayan yang terkandas lebih lapan jam di perairan Pulau Langkayan akibat kerosakan enjin bot diselamatkan kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), KD Laksamana Tan Pusmah. Kedua-dua nelayan terbabit dikenal pasti sebagai Moyong Aminuddin, 75 dan Holdin Abduraham, 34 berasal dari Pulau Berhala di sini. Pegawai Memerintah kapal itu Komander Mohamad Zamri Ismail berkata pihaknya mengesan isyarat kecemasan dua lelaki terbabit ketika dalam pelayaran dari Kota Kinabalu ke Pangkalan TLDM Sandakan. "Ketika dihampiri, bot nelayan terbabit yang berdaftar di Sandakan berada di kawasan perairan Filipina," katanya kepada pemberita di sini, Khamis. Mohamad Zamri berkata, nelayan terbabit diselamatkan pada pukul 3.13 petang, Rabu dan mendakwa bot mereka mengalami kerosakan pada pukul 7 pagi ketika dalam perjalanan mengambil hasil laut di Pulau Langkayan. Katanya, pihaknya kemudian menunda bot nelayan terbabit ke Jeti TLDM Sandakan. Sementara itu, beliau berkata, KD Laksamana Tan Pusmah akan berada di Jeti TLDM Sandakan selama seminggu sempena hari TLDM ke-80. Kapal ini akan dibuka untuk lawatan awam pada Sabtu dan Ahad ini bermula 10 pagi hingga 5 petang.