KUALA LUMPUR: Pemeriksaan air kencing ke atas pemandu bas ekspres oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) setiap hari di terminal bas adalah secara rawak sahaja dan bukan ke atas pemandu sama. Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Ab Aziz Kaprawi, berkata kenyataannya disalah tafsir oleh sesetengah media menyebabkan sangkaan pemandu bas ekspres akan menjalani ujian air kencing setiap hari. "JPJ akan melakukan ujian setiap hari, tetapi terminal dipilih secara rawak dan bukan ke atas terminal dan pemandu yang sama," katanya selepas menghadiri sambutan 'South Africa 20th Anniversary of Freedom' di sini, Rabu. Ab Aziz menghadiri majlis berkenaan sebagai mewakili kerajaan Malaysia dan turut dihadiri oleh Pesuruhjaya Tinggi Afrika Selatan, Thami Dennis Mseleku. Mengulas lanjut, Ab Aziz berkata sehubungan itu semua pemandu bas perlu bersedia untuk dikenakan ujian air kencing pada bila-bila masa. Ab Aziz juga menasihatkan syarikat pengusaha bas agar lebih mendisplinkan pemandu dengan mengingatkan mereka supaya tidak menggunakan telefon bimbit ketika memandu. Sebelum ini Ab Aziz mengumumkan anggota JPJ akan menjalankan ujian air kencing ke atas pemandu bas ekspres di terminal bas pada setiap hari mulai semalam. Beliau berkata operasi yang melibatkan seramai kira-kira 8,600 pemandu ini akan dilaksanakan dengan kerjasama di antara JPJ dengan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).