SHAH ALAM: Polis Selangor menahan seorang warga Iran yang dipercayai terlibat dalam sindiket penipuan "black money" terbesar di negara ini serta merampas wang palsu yang dianggarkan bernilai RM30 juta. Ketua Polis Selangor, Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata suspek berumur 54 tahun ditangkap pasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan dalam satu serbuan di sebuah kondominium di Jalan Ipoh, Sentul, Kuala Lumpur kira-kira pukul 3 petang Rabu. Katanya, suspek yang memasuki negara ini menggunakan pas lawatan sosial ditahan setelah polis menerima maklumat daripada seorang pegawai bank wanita tempatan berusia 51 tahun yang menjadi mangsa penipuan sindiket berkenaan selepas melabur RM400,000. "Sindiket ini memperdayakan mangsa dengan menggandakan wang yang dilabur mangsa melalui satu projek 'mencuci wang kertas dolar Amerika dan Pound Sterling'. "Siasatan awal mendapati beberapa keping wang Amerika dan Pound Sterling itu dihitamkan dengan bahan tertentu dan selepas dicucikan dengan bahan kimia itu, keaslian wang itu seolah-olah terserlah ," katanya dalam satu sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini Khamis. Mohd Shukri berkata kejadian bermula apabila pengadu yang berkenalan dengan seorang lelaki warga Sweden menerusi laman Facebook diminta melabur 68,000 pound sterling sebelum mangsa diperkenalkan kepada seorang lagi lelaki warga Papua New Guinea di sebuah hotel di Mutiara Damansara. Katanya semasa perjumpaan dengan warga Papua New Guinea itu, mangsa ditawarkan satu projek 'mencuci wang kertas dolar Amerika dan Pound Sterling' yang dikatakan boleh mendatangkan keuntungan berlipat kali ganda dan mangsa terus menyerahkan RM400,000 kepada suspek sebelum disedari ditipu dan terus melaporkannya kepada polis. Susulan itu, polis menyerbu sebuah unit kondominium di Jalan Ipoh, Sentul dan merampas pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan untuk menjalankan aktiviti penipuan 'Black Money' seperti 22 beg pakaian, dua mesin memproses black money dan 13 peti keselamatan, beberapa kepingan wang kertas dolar Amerika, United Kingdom dan Singapura yang belum disahkan ketulenannya. Beliau berkata polis menahan seorang warga Iran di kondominium itu yang dipercayai dijadikan pusat sindiket penipuan 'Black Money'. Sehubungan itu, polis meminta orang ramai membuat semakan terlebih dahulu ke atas sebarang pelaburan yang ingin diceburi sebelum tertipu.