SHAH ALAM: Tujuh keldai dadah warga Iran, masing-masing dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan 15 sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis, selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan memiliki 3.02kg dadah empat tahun lepas. Kesemua mereka menyembunyikan 572 kapsul dadah jenis Methamphetamine itu di dalam perut mereka, di tandas Hospital Kajang dan Hospital Serdang, antara 24 Sept 2010 dan 28 Sept 2010. Hakim Datuk Ghazali Cha memerintahkan tertuduh, Ebrahim Sattari Norouz, 37, Mohammad Pakdel Hamzeh, 37, Ahmad Ahmadi, 32, Ghader Shahmehrmosayyeb, 43, Vahed Khezri Ali, 26, Farhad Saberi, 39, dan Mehdi Behrouzi, 37, menjalani hukuman berkuat kuasa dari tarikh mereka ditangkap pada 24 September 2010. Hakim Ghazali turut memerintahkan kesemua tertuduh diusir ke negara asal mereka selepas selesai menjalani hukuman penjara. Ebrahim, pengecat kereta, didakwa memiliki 83 kapsul dadah seberat 483 gram, Mohammad Pakdel, buruh, didakwa memiliki 75 kapsul dadah (419.8g) gram, Ahmad, buruh, didakwa memiliki 73 kapsul dadah (303.9g), Ghader, pemandu teksi, didakwa memiliki 53 kapsul dadah (283.9g). Sementara Vahed, pekerja kilang pengimpalan didakwa memiliki 101 kapsul dadah (503.3g), Farhad, petani, didakwa memiliki 118 kapsul dadah (667.7g) dan Mehdi, pemandu teksi, didakwa memiliki 69 kapsul dadah (357.1g). Mereka didakwa mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau sekurang-kurangnya lima tahun penjara dan minimum 10 kali sebatan. Kesemua tertuduh sebelum ini menghadapi pertuduhan mengedar mengikut Seksyen 39B (1)(A) akta sama yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan. Mengikut fakta kes, kesemua tertuduh yang baru tiba melalui penerbangan dari Bahrain, ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang dan siasatan ke atas mereka tidak menemui sebarang barang salah. Kesemua lelaki itu kemudian dibawa ke Hospital Serdang dan Hospital Kajang untuk membuat imbasan X-ray dan hasilnya terdapat imej yang mencurigakan di dalam badan mereka. Mereka seterusnya ditahan di wad untuk mengeluarkan kapsul berisi dadah berkenaan melalui dubur masing-masing. Terdahulu, kesemua tertuduh dalam rayuan untuk pengurangan hukuman memberi alasan mereka diperdaya sindiket pengedaran dadah untuk membawa dadah itu ke Malaysia dan mereka juga telah insaf serta berjanji tidak akan mengulangi kesalahan itu. Timbalan Pendakwa Raya Siti Noorbaya Jamil yang mengendalikan pendakwaan bagaimanapun berkata mahkamah harus menjatuhkan hukuman berbentuk pencegahan bagi memberi pengajaran bukan sahaja kepada semua tertuduh malah kepada masyarakat serta warga asing lain supaya menghormati undang-undang negara ini. Kesemua tertuduh diwakili peguam Imran Hadzalie Abdul Hamid, Tina Ong, Datuk A. Sivananthan, Silas Seenivasagam, Saladin Mohd Yasin, C.W. Chan, dan L A Gomes yang turut menyebut bagi pihak mendiang Karpal Singh yang mewakili tertuduh ketiga, Ahmad. Terdahulu, mahkamah meluangkan masa kira-kira seminit untuk bertafakur bagi memperingati Karpal Singh yang meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya, 17 April lepas. Kemalangan pada 1.10 pagi di Kilometer 306.1 Lebuhraya Utara Selatan laluan utara berhampiran Gua Tempurung, Kampar itu turut mengorbankan pembantu peribadi mendiang, Michael Cornelius, 39.