KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) belum membuat keputusan berhubung calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Bukit Gelugor yang akan diadakan pada 25 Mei depan. Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, beliau akan mengadakan perbincangan dengan komponen BN terutamanya MCA berhubung kekosongan kerusi berkenaan. "Belum buat keputusan lagi...itu kerusi MCA. "Bagi pelung kita bincang dulu, ada banyak masa lagi," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di Menara Dato' Onn di sini, Jumaat. Sebelum ini pembangkang mencadangkan supaya BN tidak meletakkan calon bertanding di Parlimen Bukit Gelugor kerana kerusi berkenaan merupakan kubu kuat DAP. Kerusi Parlimen Bukit Gelugor kosong selepas penyandangnya, Karpal Singh, 74, meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya di KM306.1 Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Gua Tempurung di Kampar pada 1.10 pagi, pada 17 April lalu. Pada pilihan raya umum Mei 2013, Karpal Singh menang kerusi itu dengan majoriti 41,778 undi menewaskan calon Barisan Nasional, Teh Beng Yeam. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 25 Mei depan sebagai hari pengundian manakala hari penamaan calon akan diadakan pada 12 Mei.