suria

Kereta Thailand Bawa Pelancong Asing Boleh Dikompaun - JPJ

Gambar Hiasan

BUKIT KAYU HITAM: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mengenakan kompaun terhadap kenderaan persendirian Thailand yang membawa pelancong asing masuk ke negara ini melebihi dua kilometer (km) dari pintu sempadan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Ismail Ahmad berkata menerusi operasi khas sejak Khamis lalu, pihaknya menahan dan memeriksa kenderaan dari Thailand yang membawa pelancong asing melebihi jarak dua km dari pintu sempadan di sini dan di Padang Besar, Perlis.

Beliau berkata, pemandu kenderaan yang melakukan kesalahan akan dikenakan kompaun mengikut Seksyen 21(5) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 90 (1) akta sama.

"Selepas kenakan kompaun kita arahkan pemandu kenderaan pelancong itu berpatah balik. Jika kenderaan yang ada permit ICP (permit peredaran antarabangsa) kita akan benarkan mereka masuk untuk ke destinasi yang ditujui," katanya di Stesen Kawalan Sempadan JPJ di sini, Ahad.

Bagaimanapun, beliau berkata kompaun sebanyak RM300 dikenakan terhadap pemandu kenderaan yang tidak mempunyai permit itu.

Ismail berkata, permit ICP itu boleh dipohon di kaunter JPJ yang berada di pintu sempadan dengan syarat kenderaan mereka perlu memperolehi insurans negara ini terlebih dahulu.

Beliau berkata, salinan lesen dalam Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris perlu disertakan dan kenderaan mereka perlu diperiksa oleh JPJ sebelum meluluskan permit tersebut.

"Untuk rekod kita telah meluluskan sebanyak 1,083 permit ICP untuk van persendirian dari negara jiran, Thailand sejak Januari hingga April tahun ini," katanya.

Katanya, sejak operasi itu bermula Khamis lepas hingga semalam pihaknya mengeluarkan 54 kompaun terhadap pemandu van Thailand.

Beliau berkata, JPJ akan menempatkan anggotanya secara tetap dan berterusan di kawasan sempadan bagi memastikan kenderaan pelancong dari negara jiran mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan di negara ini.

Ismail berkata, sejak awal Januari lalu hingga kini sebanyak 346 saman telah dikeluarkan oleh pihaknya terhadap pemandu kenderaan persendirian negara jiran itu kerana melakukan pelbagai kesalahan.


Artikel Berikut

Artikel Lain