suria

Dasar Penerbangan Nasional Digubal - Muhyiddin

Pelajar meninjau pesawat MAS yang diserahkan kepada Politeknik Banting untuk tujuan kajian.
KUALA LANGAT: Dasar Penerbangan Nasional akan digubal bagi memperkukuhkan industri penerbangan di negara ini, kata Timbalan Perdana Menteri.

Menurut Tan Sri Muhyiddin Yassin, antara langkah-langkah yang akan dilakukan adalah penambahbaikan sistem pengurusan trafik udara sedia ada di lapangan terbang.

"Saya diberitahu terdapat usaha untuk menambahbaik dasar tersebut bagi memenuhi pertumbuhan pesat industri penerbangan secara global di rantau Asia Pasifik iaitu mencecah 50 peratus dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini dan dijangka terus meningkat sehingga 200%, 20 tahun lagi," katanya.

Beliau berkata, jumlah penumpang di lapangan terbang di seluruh negara meningkat kepada 43.9 juta berbanding 38.6 juta penumpang bagi tempoh sama pada Januari hingga Julai 2013.

Katanya, selepas lapangan terbang KLIA2 dibuka, bilangan penumpang dijangka meningkat melebihi 70 juta.

"Dengan peningkatan pesat industri penerbangan ini, Malaysia berpotensi menjadi hab penerbangan di rantau ini," katanya.

Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan, berkata, cabaran besar dalam mencapai sasaran ini adalah melahirkan sumber tenaga pakar yang mampu menyokong pertumbuhan industri berkenaan.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Penyerahan Pesawat Boeing 737-400 milik Malaysia Airlines (MAS) kepada Politeknik Banting untuk tujuan kajian di sini, Isnin.

Artikel Lain