PETALING JAYA: Malaysia menduduki tempat ke-38 daripada 106 negara dari segi kekuatan tentera menurut laporan yang diterbitkan oleh Global Firepower (GFP). Kedudukan Malaysia meletakkannya lima tempat di hadapan dari negara jiran Singapura yang berada pada kedudukan ke-44. Menurut kaji selidik itu, Malaysia juga mengatasi Norway (39), Ethiopia (40) dan Afrika Selatan (41). Di Asean, selain Singapura, Malaysia juga mengalahkan Kemboja (82) dan Laos (102), tetapi tewas kepada Vietnam, Thailand dan Filipina, yang masing-masing berada pada kedudukan ke-23, 24 dan 37. Kajian GFP 2014 menyimpulkan bahawa lima negara teratas dari segi kekuatan tentera adalah Amerika Syarikat, Rusia, China, India dan United Kingdom. GFP menjelaskan bahawa terdapat lebih 50 faktor , melangkaui teknologi dan senjata negara, telah dipertimbangkan dalam menentukan kedudukan yang muktamad. Antara faktor itu adalah tenaga manusia yang ada dan tenaga manusia yang berupaya dalam perkhidmatan, serta pengeluaran minyak, penggunaan minyak dan simpanan minyak negara, yang dikira dalam beberapa tong sehari.