suria

MAHB Tumpu Perpindahan Akhir Ke klia2

SEPANG: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) kini memberi tumpuan kepada rancangan perpindahan akhir bagi semua pihak terbabit ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2).

Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan Operasi MAHB, Datuk Azmi Murad berkata pemegang kepentingan termasuk AirAsia, agensi kerajaan, rakan kongsi perniagaan, pengendali teksi dan bas serta para penumpang sedang menantikan perpindahan operasi ke klia2.

"Tumpuan kami kini adalah untuk memastikan klia2 bersedia pada 2 Mei. Semalam kami mengadakan mesyuarat dan semua pihak mengesahkan akan berpindah ke klia2 dengan membuat persiapan yang perlu.

"Esok kami akan mengadakan satu lagi mesyuarat untuk memuktamadkan rancangan perpindahan bagi semua pihak.

"Jadi marilah kita berusaha mengendalikan klia2 yang menyediakan kemudahan lebih baik, lebih cekap dan lebih selesa berbanding Terminal Penerbangan Tambang Rendah (LCCT)," katanya ketika ditemui di majlis pecah tanah projek gedung membeli belah Mitsui Outlet Park KLIA, di sini, Selasa.

Terminal penerbangan tambang rendah baharu itu yang boleh menampung 45 juta penumpang setahun dijadualkan dibuka pada 2 Mei ini, manakala AirAsia Group akan memindahkan semua operasinya ke lapangan terbang tersebut dari LCCT pada 9 Mei ini.

Azmi enggan mengulas lanjut mengenai beberapa penafian yang dibuat oleh AirAsia mengenai klia2 termasuk tuntutan berkaitan aspek keselamatan landasan, kawasan parkir pesawat, perkhidmatan teksi, sistem pemprosesan penumpang SITA, jejambat aero, muzium, spa dan peluasan ruang di luar terminal untuk menempatkan Airbus A380.

 "Jika mereka mahu menafikannya, tak kisahlah," katanya.

Beliau berkata terminal itu telah disahkan selamat oleh Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO), agensi khusus Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang menyediakan standard, peraturan dan prosedur bagi penerbangan antarabangsa.


MAHB, klia2, AirAsia, Datuk Azmi Murad

Artikel Lain