PETALING JAYA: Astro (M) Holdings Bhd, penyiar rasmi Kejohanan Piala Dunia FIFA 2014 Brazil menjangka 300,000 akan muat turun bagi aplikasi Astro Go 2014 FIFA World Cup. Astro Go 2014 FIFA World Cup merupakan aplikasi di mana pemegang pas bola sepak boleh menonton semua 64 siaran langsung perlawanan bola di peranti tablet, telefon pintar dan komputer peribadi. Pengalaman menonton di aplikasi Astro Go 2014 FIFA World Cup akan dipertingkatkan lagi dengan enam suapan pelbagai kamera secara langsung bagi merakam keseronokan perlawanan dari pelbagai sudut. Ketua Bahagian Sukan Astro Lee Choong Khay berkata muat turun itu juga akan disumbang daripada pengguna yang menggunakan Apple App store dan Google Play, di mana aplikasi itu akan tersedia bermula 4 Jun, 2014. "Ketika ini, dengan aplikasi Astro On The Go sedia ada yang dilancarkan sebelum ini, ia telah berjaya meraih 900,000 muat turun setakat ini. "Berdasarkan kepada sambutan yang amat menggalakkan ini, kami berharap dapat meraih kejayaan yang sama dan menggalakkan orang ramai untuk memuat turun aplikasi lain termasuk aplikasi Astro Go 2014 FIFA World Cup yang akan diperkenalkan bersempena dengan Piala Dunia," katanya kepada Bernama pada taklimat Piala Dunia Astro, di sini, Selasa. Selain aplikasi Astro Go 2014 FIFA World Cup, beliau berkata aplikasi baharu lain yang akan diperkenalkan bersempena dengan Piala Dunia ialah Ola Bola Football Predictor, Stadium Astro Fantasy Olabola Edition, aplikasi Astro Go Read dan aplikasi Astro GO Listen. Lee berkata 900,000 muat turun sedia ada aplikasi Astro On The Go juga akan menyediakan semua 64 perlawanan Piala Dunia FIFA 2014 bagi pelanggan Astro dan bukan pelanggan, di mana 30 daripada 64 siaran secara langsung adalah percuma bagi semua rakyat Malaysia manakala pelanggan boleh membeli satu perlawanan bagi asas bayar setiap kali menonton yang dijual dengan harga RM6 setiap satu.