KUALA LUMPUR: Himpunan 1 Mei akan bermula di Jalan Raja di sini dan melintasi Dataran Merdeka tanpa memasuki kawasan padang berkenaan, kata Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu. Beliau berkata, perkara yang diputuskan dalam pertemuannya dengan Ketua Polis Daerah Dang Wangi itu menetapkan himpunan brmula pukul 2 petang itu akan menggunakan laluan sama seperti sambutan kemerdekaan negara. "Jalan itu akan ditutup dan orang ramai yang menyertainya akan bergerak ke Masjid Negara, Sogo, Dataran Maybank dan KLCC. "Tidak ada perarakan cuma berjalan menuju ke Dataran Merdeka melalui Jalan Raja di hadapan Bangunan Sultan Abdul Samad. "Bagaimanapun, akan ada ucapan dan sepanduk yang berkatian GST (Cukai Barang dan Perkhidmatan), penyelewengan dan lain-lain," katanya mengenai Demo GST di Dewan China Selangor, Rabu. Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka hadir, termasuk Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Suhaizan Kayat, Naib Presiden PKR Tian Chua serta aktivis pembangkang Hishamuddin Rais. Bagaimanapun, Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam kenyataannya berkata, perhimpunan itu sesekali tidak akan menimbulkan provokasi sehingga boleh mendatangkan ketegangan. Bagaimanapun, ia dilihat bertentangan dengan gesaannya bahawa PKR bertegas selagi tidak wujud perubahan ketara yang menjadi jurang antara golongan kaya dan miskin serta akan bersungguh-sungguh menentang GST kerana ia akan menambah beban rakyat. Malahan, beliau juga mengajak rakyat menyertai perhimpunan itu bersama PAS dan DAP dalam Pakatan Rakyat kerana parti itu percaya kewujudan pelbagai penguatkuasaan cukai adalah perkara besar yang membawa kesan mendalam kepada rakyat. Selain itu, Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar mengumumkan 60 buah bas dari Kedah akan turut menyertai himpunan ini. Sementara itu, jawatankuasa penganjur, S.Arutchelvan berkata, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) akan menghantar 30 wakilnya untuk menyakinkan polis bagi membenarkan himpunan ini. "Pada hari sama, di KLCC akan diadakan sambutan Hari Pekerja yang melibatkan 95 organisasi yang sudah pun menuntut GST dibatalkan. Kumpulan ini akan bergerak ke Dataran Merdeka. Mengulas lanjut, Tian Chua berkata, selepas beberapa kali mengadakan himpunan besar-besaran, akhirnya ia dilihat sebagai sesuatu yang demokratik dan hak asasi untuk rakyat. "Kita juga ingin menyampaikan penghargaan kepada polis yang menjalankan tugas dengan menyediakan kemudahan dan sentiasa bersedia untuk membantu orang awam, melaksanakan aktiviti mengikut lunas undang-undang dan hak perlembagaan. "Pada hakikatnya yang telah dinyatakan Akta Perhimpunan Aman 10 hari notis hanya panduan untuk memudahkan pihak polis buat kerja," katanya.