PETALING JAYA: Berhenti bercakap dan kembalikan bekalan air kepada kami! Itu antara keluhan penduduk di Selangor dan Kuala Lumpur yang marah dengan pelaksanaan catuan air sejak dua bulan lalu di negeri itu. Beberapa minggu lalu, ruang siber dipenuhi dengan aduan dan kata-kata kemarahan mengenai masalah bekalan air. Napsiah Wan Salleh dalam entrinya di laman sosial Facebook berkata, dia hanya mahu pihak berkuasa bertindak segera supaya catuan air boleh dihentikan untuk kebaikan bersama. Jocelyn Lee bertanya: “Adakah anda melakukan sesuatu untuk menyelesaikan masalah ini? Atau hanya menunggu setiap hujung bulan dengan berkata: Tiada hujan turun dekat kawasan empangan, tiada perubahan di empangan, kami akan meneruskan catuan air. Tidak masuk akal!'. Gathrin Govindarajoo berkata, pelaksanaan catuan air turut menyebabkan kesihatan terjejas. "Tidak boleh tahan lagi. Anak-anak terkena jangkitan kaki, tangan dan mulut manakala orang dewasa mengalami iritasi. Sama seperti pengguna lain, Sher Cullen menggesa Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk menghentikan catuan air. "Kami mahu air yang bersih di rumah kami!." Shashi Netto berkata kerajaan Selangor perlu melakukan perkara sepatutnya dengan menghentikan salah urus tadbir dan membiarkan situasi kembali normal. Lee Mei Lin yang menyifatkan catuan air sebagai 'kegilaan semata-mata', bertanya: "Boleh kami tau apa sebenarnya masalah yang berlaku?". Pengguna Internet yang marah turut tidak berpuas hati dengan laporan berlaku sedikit peningkatan paras air di empangan. "Jika catuan air berterusan, apa motif memberitahu kami berita tersebut? Ia ibarat meletakkan paha ayam di hadapan mangsa kebuluran dan memberitahunya supaya tidak memakannya," kata Ivy Lam.