suria

ETHICA Anjur Program Kemasyarakatan Bersama Anak Yatim

Ahli ETHICA bergambar kenangan bersama penghuni Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim dan Miskin, Sungai Pinang, Klang pada Khamis.
KAPAR: Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim dan Miskin (Al-Khairah) Sungai Pinang, Klang, di sini, bertuah kerana menjadi lokasi pilihan program kemasyarakatan anjuran Persatuan Bekas Penghuni Kolej Ketiga Universiti Malaya (ETHICA) pada Khamis.

Presiden ETHICA, Datuk Salehuddin Saidin berkata, pemilihan rumah kebajikan itu bertepatan dengan matlamat persatuan tersebut untuk membantu dan mendekatkan diri dengan golongan kurang bernasib baik.

"Kita buat kajian mengenai beberapa rumah anak yatim dan kenal pasti rumah kebajikan ini yang sesuai.

"Berdasarkan keadaan asrama dan tempat belajar yang agak uzur, kita terpanggil untuk memberikan sumbangan sama ada dalam bentuk kewangan, peralatan sekolah dan sokongan moral," katanya.

Salehuddin yang juga seorang peguam berkata, program tersebut adalah salah satu aspek sosial yang ingin diketengahkan, selain mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan ahli ETHICA dan penghuni Kolej Ketiga UM.

Salehuddin Saidin.

"Apa yang kami perolehi selama ini, kami pulangkan semula menerusi program khidmat masyarakat bagi membantu mereka yang kurang bernasib baik," katanya.

Pada program itu, ETHICA turut menyalurkan sumbangan dalam bentuk peralatan dan wang tunai berjumlah RM30,000. 

Salehuddin berkata, antara peralatan yang disumbangkan termasuk tilam, katil, bantal, pakaian sukan, kasut, sistem pembesar suara, peralatan kebersihan diri dan wang sagu hati kepada pelajar.

Menurut Salehuddin, bantuan yang dihulurkan tidak akan terhenti setakat itu saja, malah ETHICA akan terus memenuhi segala yang diperlukan rumah kebajikan ini, selain meuar-uarkan mengenainya kepada syarikat korporat dan kerajaan.

"Kita akan terus bantu bagi selagi yang terdaya. Menerusi program ini, kita harap dapat memotivasikan pelajar supaya mempunyai kesungguhan dan keazaman untuk berjaya dari aspek pelajaran dan kehidupan," katanya.

Program tersebut turut disertai 40 penghuni Kolej Kediaman Tuanku Kurshiah universiti sama yang turut dikenali sebagai Kolej Ketiga.

Aktiviti senam robik yang disertai anak-anak yatim, ahli ETHICA dan penghuni Kolej Kediaman Tuanku Kurshiah UM.


Pengetuanya, Jamaludin Yacob berkata, program tersebut merupakan inisiatif terpuji yang dilakukan untuk memberi ruang kepada golongan mahasiswa berinteraksi dengan masyarakat.

"Pelajar sepatutnya tidak hanya fokus kepada pelajaran semata-mata tetapi perlu lebih kerap didedahkan dengan program kemasyarakatan.

"Malah program ini turut menjadi medan kepada golongan mahasiswa untuk mendapatkan nasihat dan tips berguna daripada alumi universiti (ahli persatuan ETHICA) yang cemerlang di luar sana," katanya.

Selain program penyerahan bantuan, ahli ETHICA bersama dengan penghuni Kolej Kediaman Tuanku Kurshiah UM turut melakukan aktiviti senam robik dan gotong-royong membersihkan sekitar kawasan rumah kebajikan itu.

Artikel Lain