KEMAMAN: Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) menahan tiga kapal kargo bersama tiga tekong dan 46 nelayan Vietnam kerana menceroboh dan melakukan aktiviti penangkapan ikan dalam kawasan perairan negara. Pengarah Operasi merangkap Pemangku Ketua Penguatkuasa DM8, Komander Maritim Rahim Ramli berkata pihaknya mengesan ketiga-tiga kapal berkenaan yang menggunakan nombor pendaftaran palsu di kawasan 18 batu nautika utara Pulau Tioman pada pukul 12 tengah hari, Rabu. Katanya, sebaik menerima maklumat awam pada pukul 8.30 pagi, sebuah kapal ronda APMM dikerah ke lokasi dan hasil pemeriksaan mendapati mereka disyaki menjalankan aktviti penangkapan ikan tanpa permit di kawasan itu. "Ketika tiba di lokasi itu didapati empat buah kapal kargo sedang melakukan aktiviti tunda ganding. "Namun, selepas menyedari kehadiran pihak maritim, salah sebuah bot itu segera memotong pukat dan meloloskan diri sementara tiga buah kapal dapat kita tahan," katanya kepada pemberita di Pangkalan Maritim Kemaman di Bukit Kuang di sini, Khamis. Beliau berkata, pihaknya merampas sebanyak 350kg ikan dan 500kg sotong dan keseluruhan hasil rampasan dianggarkan bernilai RM2.5 juta termasuk nilai tiga buah kapal tersebut. Rahim berkata, hasil siasatan awal pihaknya mendapati dua buah kapal terbabit menggunakan nombor pendaftaran tempatan iaitu MUR7 dan IBALI 8 manakala sebuah lagi kapal menyamar menggunakan nombor pendaftaran JHF 6518T. Katanya, kesemua nelayan yang berusia antara 20 dan 50 tahun itu ditahan untuk membantu siasatan lanjut di bawah Akta Perikanan 1985 dan Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952.