suria

MH370: Komunikasi Antara 1.38 Pagi Dan 6.14 Pagi, 8 Mac Didedah

PETALING JAYA: Rakaman perbualan antara kokpit pesawat MH370 dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KL-ATCC) dan Ho Chi Minh (HCM) didedahkan kepada umum membabitkan komunikasi antara pukul 1.38 pagi hingga 6.14 pagi pada Sabtu, 8 Mac lalu.

Berikut adalah rakaman melalui talian terus itu yang bermula selepas kelipan radar padam hingga Pusat Penyelarasan Menyelamat diaktifkan yang dikeluarkan Kementerian Pengangkutan.

# 01:38:19 pagi: HCM mula bertanya mengenai MH370, maklum kepada KL-ATCC bahawa komunikasi secara lisan tidak dapat dirakam dengan MH370 dan isyarat radar kali terakhir dikesan di BITOD.

# 01:41:21 pagi: KL-ATCC memaklumkan kepada HCM bahawa selepas IGARI, MH370 tidak kembali kepada frekuensi.

# 01:46:46am: HCM sekali lagi bertanya mengenai MH370, menyatakan komunikasi melalui radar dibuat meliputi IGARI tetapi tiada komunikasi secara lisan. Ho Chi Minh memaklumkan bahawa kelipan pada radar padam di "waypoint BITOD."

# 01:50:28 pagi: KL-ATCC bertanya HCM jika ada komunikasi dibuat dengan MH370. Jawapan HCM adalah "negatif'.

# 01:57:02 pagi: HCM maklum kepada KL-ATCC bahawa secara rasmi, tiada komunikasi dengan MH370 sehingga kini. Percubaan untuk berkomunikasi melalui beberapa frekuensi dan pesawat di persekitaran tidak mendapat respons daripada MH370.

# 02:03:48am: KL-ATCC bertanya HCM mengenai status MH370. HCM mengesahkan bahawa tiada komunikasi radar pada masa ini dan tiada komunikasi lisan dibuat. KL-ATCC menyalurkan maklumat yang diterima daripada MAS OPS bahawa pesawat berada di ruang udara Kemboja.

# 02:07:00 pagi: HCM bertanya bagi mendapatkan pengesahan bahawa MH370 berada di Phnom Penh FIR. KL-ATCC minta untuk menyelidiki lebih lanjut dengan penyelia.

# 02:11:37 pagi: HCM bertanya mengenai status tetapi KL-ATCC tidak mempunyai maklumat terkini.

# [02:15 pagi] [tiada rakaman suara]:(dipetik daripada Buku Log Watch Supervisor) KL-ATCC Watch Supervisor bertanya MAS OPS siapa yang maklumkan bahawa MH370 dapat berkomunikasi di ruang udara Kemboja.

# 02:18:53 pagi: KL-ATCC bertanya jika rutin penerbangan MH370 sepatutnya memasuki ruang udara Kemboja. HCM mengesahkan bahawa laluan dirancang adalah melalui ruang udara Vietnam. HCM membuat semakan dan Kemboja memberitahu ia tidak mempunyai maklumat atau komunikasi dengan MH370. HCM mengesahkan maklumat sebelumnya bahawa komunikasi melalui radar terputus selepas BITOD dan komunikasi melalui radio tidak pernah dibuat. KL-ATCC tanya jika HCM mengambil tindakan Radio Failure tetapi pertanyaan itu nampaknya tidak difahami oleh kakitangan yang bertugas.HCM mencadangkan supaya KL-ATCC menghubungi MAS OPS dan diberitahu bahawa ia sudah dibuat.

# 02:34:01: Watch Supervisor KL-ATCC bertanya kepada Pusat MAS OPS mengenai status komunikasi dengan MH370 tetapi kakitangan tidak pasti sama ada mesej sampai atau tidak.

# 02:35:03: HCM tanya mengenai status MH370 dan diberitahu bahawa Watch Supervisor sedang berhubung dengan syarikat ketika ini.

# 02:35:5: Pusat MAS OPS maklumkan kepada KL-ATCC MH370 bahawa keadaan adalah normal berdasarkan isyarat yang dimuat turun dengan memberikan koordinat N14.90000 E109 15 00 pada jam 1833 UTC.

# 02:37:36: KL-ATCC menyalurkan kepada HCM mengenai latitud dan longitud seperti dinasihatkan oleh Malaysian Airlines Operations.

# 02:53:51: MH386 diminta oleh HCM supaya cuba berkomunikasi dengan MH370 melalui frekuensi radar Lumpur. KL-ATCC kemudian minta MH386 untuk cuba menggunakan frekuensi kecemasan.

# [03:30] (tiada rakaman suara): (dipetik daripada Buku Log Watch Supervisor) Pusat MAS OPS maklumkan kepada KL-ATCC bahawa maklumat data penerbangan adalah berdasarkan ramalan penerbangan dan tidak dapat disahkan bagi lokasi pesawat.

# 03:30:01: KL-ATCC tanya jika HCM telah menyemak dengan FIR Hainan.

# 03:56:19: KL-ATCC tanya Malaysia Airlines OPS mengenai apa-apa maklumat terkini atau komunikasi dengan MH370.

# 04:25:23: HCM tanya KL-ATCC mengenai kedudukan akhir MH370 dan sama ada dapat berkomunikasi dengan ATC. KL-ATCC tanya jika ada sebarang maklumat diterima daripada Hong Kong atau Beijing.

# 05:09:18: Singapura tanya bagi mendapatkan maklumat mengenai MH370.

# 05:20:17:Kapt [name redacted] minta maklumat mengenai MH370. Beliau berpendapat bahawa berdasarkan maklumat yang diterima, "MH370 tidak pernah meninggalkan ruang udara Malaysia".

# 05:30: Watch Supervisor mengaktifkan Pusat Penyelarasan Kuala Lumpur.

# 05:41:21: HCM tanya mengenai apa-apa maklumat terkini.

# 06:14:14: KL-ATCC tanya HCM sama ada SAR digerakkan.




Kementerian Pengangkutan pada Khamis mengeluarkan laporan awal mengenai kehilangan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 termasuk rakaman perbualan antara kokpit dan pusat kawalan udara.

Laporan tersebut mengandungi butiran lengkap termasuk mengenai tindakan yang diambil oleh pihak berkuasa pada hari kehilangan MH370, maklumat kargo pesawat dan sejarah penerbangan serta peta laluan penerbangan yang mungkin digunakan.

Menerusi kenyataan media, pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pendedahan maklumat berkenaan dibuat kepada umum kerana ia tidak mengganggu proses siasatan pesawat yang hilang sejak 8 Mac itu.

Penerbangan MH370 membawa 239 penumpang dan anak kapal hilang daripada imbasan radar ketika terbang di ruang udara Laut China Selatan pada 8 Mac setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam.

Ia sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari sama.

Gerakan mencari melibatkan pelbagai negara dilancarkan untuk mengesan pesawat Boeing 777-200 itu, mula-mula di Laut China Selatan dan kemudian di selatan Lautan Hindi apabila ia dikatakan melencong daripada laluan asalnya.

Selepas analisis terhadap data satelit menunjukkan kedudukan terakhir pesawat itu adalah di Lautan Hindi, di barat Perth, Australia, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pada 24 Mac bahawa Penerbangan MH370 "berakhir di selatan Lautan Hindi".

MAS, MH370, Pusat Kawalan Udara

Artikel Lain