KUALA LUMPUR: Berikut adalah kenyataan Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengenai operasi mencari pesawat Malaysia Airlines Penerbangan MH370, yang beliau baca dalam sidang akhbar di Hotel Royale Chulan pada Jumaat. Hari ini (Jumaat) adalah hari ke-56 MH370 hilang. Hakikat bahawa MH370 masih belum dijumpai setelah lebih tujuh minggu usaha mencari dilakukan di darat, udara dan laut membuktikan betapa sukarnya keseluruhan misi ini. Bagaimanapun, kami tetap teguh dengan komitmen kami untuk mencari MH370 dan akan terus mempergiat usaha mencarinya. Seperti yang dijanjikan Perdana Menteri minggu lepas, kami mengeluarkan Laporan Awal seperti yang dihantar kepada ICAO (Pertubuhan Penerbangan AwamAntarabangsa) berserta maklumat tambahan. Ini konsisten dengan pendirian kami bahawa demi keterbukaan dan ketelusan,semua maklumat yang tidak menjejaskan penyiasatan atau operasi mencari, akan didedah kepada umum. Perlu ditegaskan bahawa laporan yang disiar kepada umum semalam (Khamis) adalah suatu laporan awal. Namun begitu seperti yang saya tegaskan sejak awal lagi, kami tidak menyembunyikan apa-apa". PERJUMPAAN DENGAN ANGUS HOUSTON DAN JEAN PAUL TROADEC Awal hari ini (Jumaat), saya mengadakan perjumpaan dengan Ketua Marsyal Udara (B)Angus Houston, yang mengetuai Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) di Perthdan menyelaras usaha mencari MH370 di selatan Lautan Hindi, serta Jean PaulTroadec iaitu Ketua Pasukan Penyiasat Perancis bagi pesawat Air France 447 merangkap bekas Ketua Biro Penyiasatan Nahas Udara. Kedatangan dua individu ini ke Kuala Lumpur adalah untuk berbincang tentang fasa baharu dalam operasi mencari. "Perjumpaan ini menjadi bukti keterangkuman Malaysia dalam menyelaras fasa berikutnya bagi usaha mencari 'yang tidak pernah dilakukan sebelum ini' serta mengesahkan sekali lagi komitmen padu kami danmasyarakat antarabangsa untuk mencari MH370. Tiga jawatankuasa kecil yang diketuai tiga timbalan menteri telah mengadakan mesyuarat dan usaha sedang dipergiat bagi mempersiapkan diri untuk menghadapi fasa berikutnya. Izinkan saya memberi maklumat terkini berkaitan kemajuan yang mereka capai. i) Jawatankuasa Teknikal Pasukan Penyiasat Antarabangsa, yang diketuai Dato Kok Soo Chon iaitu bekasKetua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) dan bekas Wakil Tetap di Majlis ICAO di Montreal, telahpun memulakan siasatan berkaitan insiden itu seperti disyaratkan dalam Terma Rujukan ICAO. Pasukan ini telah bermesyuarat sebanyak lima kali dan kemajuan siasatan akan dilaporkan apabila tiba masanya. ii) Jawatankuasa Waris pada Khamis, Malaysia Airlines mengumumkan ia akan membayar pampasan pendahuluan secepat mungkin kepada waris yang berhak. Pakej pampasan ini bertujuan memenuhi keperluan segera keluarga terbabit dari segi kewangan. Saya ingin menegaskan sekali lagi pendirian kerajaan seperti yang diumum oleh Timbalan Menteri Luar Datuk Hamzah Zainuddin, yang mengetuai Jawatankuasa Kecil Waris, bahawa kami yakin dengan komitmen Malaysia Airlines untuk membantu dan menyokong keluarga mereka yang menaiki pesawat MH370. Seiring dengan itu, saya juga ingin merakam setinggi-tinggi penghargaankepada Kerajaan China atas sokongan kuat mereka dalam perkara ini. Saya dengan sesungguh hati ingin menggesa Malaysia Airlines agar terus berhubung dengan keluarga penumpang terbabit apabila kami memasuki fasa baharu ini. Amat penting bagi MAS untuk memelihara dan menambah baik platform serta saluran komunikasi yang wujud antara syarikat penerbangan itu dan keluarga terbabit sejak lapan minggu lepas. Anggota keluarga penumpang terbabit, di mana sahaja mereka berada, perlu sentiasa dimaklumkan dengan segera berkaitan perkembangan penting usaha mencari pesawat berkenaan. Kami bertanggungjawab memaklumkan mereka tentang perkembangan yang berlaku dan menyiasat hingga ke akar umbi insiden ini. iii) Jawatankuasa Penggunaan Aset Mengenai penggunaan aset, kami telah berbincang secara mendalam denganbeberapa syarikat Malaysia iaitu Petronas, Deftech, Boustead dan Sapura Kencana beberapa hari lepas berkaitan penggunaan aset khusus. Sistem dalam air dan platform khusus ini termasuk Kenderaan Autonomi Tanpa Kendalian Manusia (AUV), alat dikenali sebagai 'Deep Water Towed Side Scan Sonar', Kenderaan Kendalian Jarak Jauh (ROV) dan kapal sokongan, akan digerak bagi menyertai fasa baharu misi pencarian ini. Semua entiti Malaysia yang terlibat dalam usaha ini perlu bekerja sebagai sebuah pasukan yang membawa panji-panji Malaysia untuk mencari MH370. PERJALANAN KE CANBERRA Minggu depan, saya akan mengetuai satu delegasi ke Canberra bagi menghadiri Mesyuarat Tiga Hala Peringkat Menteri, yang akan dihoskan rakan sejawatan kami dari Australia pada 5 Mei 2014. Mesyuarat ini akan dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri serta Menteri Infrastruktur dan Industri Australia. Saya akan diiringi ketua tiga jawatankuasa kecil terbabit iaitu Timbalan Menteri Pertahanan, Timbalan Menteri Pengangkutan dan Timbalan Menteri Luar serta Datuk Azharuddin Abdul Rahman daripada DCA, Ahmad Jauhari daripada MAS danwakil kementerian berkenaan. Delegasi China juga akan menyertai kami dalam mesyuarat itu, yang diketuai Menteri Pengangkutan Yang Chuantang diiringi Naib Menteri Pengangkutan HeJianzhong dan Naib Menteri Luar Xie Hangsheng serta pegawai kanan kerajaan. DAKWAAN BERKAITAN TELUK BENGGALA Mengenai dakwaan berkaitan Teluk Benggala, kami bersetuju dengan kenyataan Angus Houston bahawa ia adalah amat mustahil. Banyak petunjuk sebelum ini terbukti negatif dan keadaan ini adalah sama seperti apa yang kami alami sebelum ini. Walaupun tiada maklumat baharu, kami tetap meminta negara pesisir agar mengesahkan dakwaan itu. Ketika ini, tiga kapal Bangladesh termasuk sebuah kapal peninjau berada dikawasan pencarian itu. Setakat ini, tiada apa yang ditemui. PENUTUP Dalam memasuki fasa baharu pencarian, kami mengucapkan terima kasih atas sokongan berterusan yang kami terima daripada masyarakat antarabangsa dan pihak berkepentingan di peringkat domestik. Kami juga terharu dengan sokongan yang diterima dari pelbagai negara yang tampil membantu walaupun mereka tidak menyertai fasa awal operasi SAR. Kami akan berusaha mengatasi cabaran dalam operasi mencari fasa baharu itu nanti, yang memerlukan aset dalam air yang mahal, canggih dan kompleks. Sepertibiasa, ingatan dan doa kami tetap bersama mereka yang menaiki pesawat berkenaanserta keluarga mereka, dan usaha mencari akan diteruskan.