KUALA LUMPUR: Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) mengesahkan 38 daripada 239 orang yang menaiki Penerbangan MH370 pada 8 Mac 2014 adalah rakyat Malaysia. Kekeliruan timbul apabila maklumat berkaitan tempat duduk penumpang dalam laporan awal yang dikeluarkan semalam mengenai kehilangan pesawat malang itu menunjukkan jumlah rakyat Malaysia yang menaiki MH370 tidak sampai 38 orang. Menurut kenyataan MAS pada Jumaat, nama 38 rakyat Malaysia itu dikongsi dalam Senarai Penumpang yang dikeluarkan kepada umum sebelum ini. Mengenai pertukaran isyarat antara pihak di bumi dan pesawat berkenaan sejurus selepas Pengawal Trafik Udara Ho Chi Minh menyatakan hubungan radio tidak dapat dibuat dengan MH370, MAS memperjelas bahawa apa yang dimaksudkan sebagai isyarat itu sebenarnya adalah pesawat udara yang terpamer pada skrin 'Flight Following System'. "Ini berdasarkan unjuran pesawat berkenaan ketika itu, bukan kedudukan sebenar pesawat," demikian menurut kenyataan MAS yang turut menegaskan bahawa maklumat itu terkandung dalam Laporan Awal MH370 semalam. Kenyataan itu menyebut apabila Penyelia Pengawasan Pusat Kawalan Udara Kuala Lumpur (KL-ATCC) bertanya tentang status MH370, Malaysia Airlines OPS memaklumkan bahawa pesawat itu masih dapat dilihat di ruang udara Kemboja dalam Flight Following System. Katanya, perkataan 'Cambodia' dipamer oleh Flight-Following System pada skrin apabila zum masuk dilakukan dan ini mendorong Malaysia Airlines beranggapan pesawat itu sedang terbang di ruang udara Kemboja. Flight Following System tidak mempamer perkataan 'Vietnam' walaupun pesawat itu berada di ruang udara negara berkenaan. Menurut kenyataan itu, tanggungjawab memantau pengesanan pesawat terletak di bahu Pusat Kawalan Trafik Udara. "Bagi syarikat penerbangan, menggunakan Flight Following System untuk membantu juruterbang mengendalikan pesawat dalam keadaan cuaca tertentu atau untuk membuat lencongan adalah perkara biasa. Sistem ini tidak bersifat primer dan bukan juga bersifat pengawalan positif.