suria

Peras Ugut Seksual Berleluasa

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia dinasihatkan supaya berwaspada dengan gejala 'peras ugut seksual' yang menggunakan wanita cantik dan seksi sebagai umpan di alam siber.

Suspek akan merakam tanpa sedar aktiviti lucah untuk memeras ugut mangsa, demikian menurut CyberSecurity Malaysia.

Agensi keselamatan siber di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) itu berkata, mangsa biasanya remaja atau lelaki berumur yang akan didekati oleh wanita cantik dan seksi kononnya dari Filipina, Jepun dan Korea melalui media sosial.

"Pelaku akan meminta mangsa untuk berborak melalui video dengan menggunakan aplikasi Skype serta menggunakan perkataan yang menarik untuk menarik perhatian mangsa.

"Suspek juga akan menanggalkan pakaiannnya dan akan meminta mangsa untuk berbuat demikian.

"Dengan cara ini, pelaku akan mula merakam mangsa dalam kedudukan yang tidak sesuai melalui webcam tanpa mangsa menyedari bahawa tindakan beliau telah direkodkan.

"Pelaku itu kemudian akan memainkan rakaman video yang dirakamkan kepada mangsa dan mula memeras ugut untuk membayar sejumlah wang. Jika tidak rakaman video itu akan diedarkan di kalangan kawan-kawannya atau keluarga atau dimuat naik di YouTube," kata agensi itu.

Unit kecemasan agensi itu berkata, pihak mereka menerima peningkatan laporan mengenai kes memeras ugut siber dengan 512 kes gangguan siber dilaporkan pada 2013, berbanding dengan 300 kes pada 2012 dan 459 kes pada 2011.

"Jika anda adalah mangsa, berhenti berkomunikasi dengan pemeras ugut dan tukar akaun laman sosial anda kepada 'akaun peribadi' supaya pelaku tidak boleh menghubungi anda atau rakan-rakan anda.

"simpan semua data komunikasi, screenshot, atau e-mel sebagai bukti untuk membuat aduan dan laporan polis," nasihat agensi itu.
CyberSecurity Malaysia, Mosti

Artikel Lain