suria

PDRM Tidak Akan Keluarkan Hasil Siasatan MH370 Ketika Ini

Khalid (kanan) bersalaman dengan para peserta pertandingan menembak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama media di Lapang Sasar Pasukan Gerakan Am Briged Tengah Cheras dekat Kuala Lumpur, Sabtu. Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) buat masa ini tidak merancang untuk mengeluarkan sebarang hasil siasatan berhubung kehilangan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, perkara itu termasuklah empat aspek siasatan iaitu rampasan, sabotaj, masalah psikologi dan masalah peribadi penumpang serta anak kapal.

"Oleh kerana siasatan masih dijalankan, kita tidak akan beritahu apa-apa hasil kedapatan siasatan yang kita ada sekarang ini," katanya dalam sidang media selepas tamat acara menembak bersama media di Lapang Sasar Markas Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA) Cheras di sini, Sabtu.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin dan Pengarah Jabatan Logistik Polis Bukit Aman, Datuk Zulkifli Abdullah.

Beliau turut berkata sehingga Jumaat, pihaknya merekodkan 311 keterangan termasuk daripada keluarga mangsa terbabit.

Penerbangan MH370 membawa 239 penumpang dan anak kapal hilang daripada imbasan radar ketika terbang di ruang udara Laut China Selatan pada 8 Mac setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam.

Ia sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari sama.

Gerakan mencari melibatkan pelbagai negara dilancarkan untuk mengesan pesawat itu, mula-mula di Laut China Selatan dan kemudiannya difahamkan ia telah melencong daripada laluan asalnya dan berakhir di selatan Lautan Hindi.

Artikel Lain