SEPANG: Beberapa papan iklan kecil diletakkan di lokasi strategik sekitar bangunan terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) bagi tujuan menangkis kritikan terhadap pembinaannya terutama membabitkan isu kos. "Orang awam akan membuat penilaian," kata seorang pegawai Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) yang enggan dinamakan apabila ditanya mengenai kewujudan papan iklan di sekitar KLIA2. Pengunjung yang melalui pintu pelepasan akan disambut dengan beberapa iklan kempen bertulis 'RM2 juta kepada RM4 juta untuk KLIA2 yang besar dan lebih baik. Bukan melebihi kos.' Papan iklan itu turut mengandungi info grafik mengenai reka bentuk asal dengan yang sedia ada serta gambaran awal lapangan terbang itu pada 2009 berbanding apa yang terbina sekarang. KLIA2 sebelum ini dijadualkan beroperasi tiga tahun lalu namun pembukaannya terpaksa ditangguhkan bagi memberi perhatian mengenai aspek keselamatan serta kos pembinaan yang dilaporkan meningkat dua kali ganda. Bagaimanapun kempen itu turut memaparkan keupayaan kapasiti sehingga 45,000 penumpang iaitu dua kali ganda berbanding Terminal Tambang Murah (LCCT). KLIA2 juga mempunyai 220 kedai berbanding hanya 60 kedai di LCCT. Pada satu papan iklan lain turut menyatakan bahawa kos pembinaan KLIA2 adalah 23 peratus lebih murah berbanding membina LCCT kerana kos lapangan terbang baru itu bernilai RM4,280 meter persegi jika dibandingkan sebanyak RM5,567 meter persegi bagi LCCT.