BESUT: Unit Ronda Bermotosikal (URB) dari Balai Polis Jerteh berjaya mengeluarkan sebanyak 34 rangka motosikal yang disyaki dicuri dari tali air Kampung Gong Penaga dekat sini hasil maklumat orang awam. Penduduk kampung berkenaan yang sedang menimba air untuk menangkap ikan di tali air itu terkejut dengan penemuan beberapa rangka motosikal. Tinjauan Bernama ke lokasi penemuan telah menyaksikan usaha mengeluarkan rangka-rangka motosikal dilakukan oleh anggota polis dalam kawasan lubok sedalam kira-kira 2.5 meter itu dari pagi hingga petang Isnin. Ketua Polis Daerah Besut Supt Kamaruddin Mohd Zakaria yang dihubungi di sini hari ini mengesahkan penemuan itu dan memberitahu siasatan sedang dijalankan dan melibatkan unit forensik. Penemuan rangka-rangka motosikal itu secara tidak langsung mendedahkan rahsia kehilangan motosikal yang berlaku di sekitar daerah ini. Mengikut rekod polis sebanyak sebanyak 281 kes kehilangan motosikal dilaporkan di daerah ini tahun lepas berbanding 216 kes pada tahun sebelumnya.