KEMAMAN: Kera liar yang dipercayai mencederakan seorang bayi di Kampung Gelugor di sini pada 26 April lalu ditembak petang Isnin. Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu Yusoff Shariff berkata, selepas seminggu diburu kera jantan itu mati ditembak semasa berkeliaran di pokok bersama dua kera lain kira-kira 500 meter dari rumah mangsa pukul 6 petang. Yusoff berkata, pihaknya yakin kera yang dilupuskan itu terbabit mendatangkan kecederaan kepada bayi berkenaan berdasarkan luka yang dialami bayi itu. "Kita melupuskan seekor binatang liar itu dan masih memburu dua ekor lagi dengan memasang perangkap," katanya di sini, Selasa. Sementara itu, ibu mangsa, Siti Najwa Muhammad, 21, melahirkan rasa lega dengan tindakan Perhilitan selepas memasang perangkap di belakang rumahnya pada 29 April lalu. Dalam kejadian itu, Nor Iman Adriana Zuhairi, tiga bulan, menerima 14 jahitan di muka akibat diserang sekumpulan kera semasa sedang tidur di dalam buaian.