KUALA LUMPUR: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (Maiwp) memperuntukkan sebanyak RM30.3 juta untuk menaiktaraf sekolah agama di sekitar ibu negara dan Putrajaya, tahun ini. Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, peruntukan itu turut meliputi elaun guru Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (Kafa), kelengkapan infrastruktur sekolah, bantuan yuran murid, latihan guru serta program dan aktiviti murid. "MAIWP juga telah berjaya menyiapkan dua buah blok bangunan Sekolah Rendah Agama (SRA) Abu Dzar dengan anggaran kos sebanyak RM7.5 juta yang dilengkapi kemudahan infrastruktur lebih baik untuk keselesaan warga sekolah. Dua buah sekolah juga kini dinaiktaraf iaitu SRA Al-Hidayah di AU3 Keramat dan di Presint 11, Putrajaya serta dijangka beroperasi sepenuhnya tahun hadapan," katanya dalam ucapan perasmian Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) 2013 di sini, Selasa. Teks ucapannya dibacakan Setiausaha Maiwp, Paimuzi Yahya. Beliau berkata, Jawi juga memperoleh kelulusan tanah sebanyak dua hektar di Presint 18, Putrajaya bagi tujuan pembinaan Sekolah Menengah Agama. "Kita akan membina sebuah Sekolah Menengah Agama di Putrajaya bagi menampung keperluan anak-anak supaya berpeluang menyambung pengajian lebih tinggi dalam bidang akademik dan agama," katanya.