HUDUD kembali menjadi isu panas di halaman akhbar dan laman sesawang setelah kerancakan perbualan mengenainya mereda selepas pilihan raya umum ke-13 tahun lalu. Ia terus menjadi bahan politik yang paling digemari dan kebelakangan ini persatuan-persatuan bukan Islam juga merasa seperti tanggungjawab mereka untuk membantah perintah Allah yang tidak ada kena-mengena dengan hak asasi mereka. Secara ringkas, hukum hudud adalah sebahagian hukum syariah yang juga meliputi qisas, diat dan takzir. Hudud tiada tolak ansur dan penjenayah rompakan, pencurian dan zina, misalnya, mesti dihukum seperti ditetapkan Allah di dalam al Quran dan hadis. Hukuman qisas ialah kesalahan yang dikenakan hukuman balas; misalnya bunuh dibalas bunuh, cedera dibalas cedera. Bezanya dengan hudud, qisas hendaklah dituntut oleh mangsa atau keluarganya. Kalau tidak dituntut, maka penjenayah tidak boleh dikenakan hukuman qisas. Hudud, walaupun tidak dituntut mangsa atau keluarga, ia tetap dikuatkuasakan. Diat adalah hukuman yang sehubungan dengan kesalahan qisas; iaitu pemberian pampasan atau harta oleh penjenayah kepada mangsa atau warisnya sebagai gantirugi disebabkan jenayah yang dilakukan ke atas mangsa. Jenis atau bentuk hukuman takzir adalah terserah kepada kebijaksanaan hakim, keatas penjenayah-penjenayah yang melakukan kesalahan-kesalahan yang ringan berbanding kesalahan di bawah hudud dan qisas. Maka, di dalam hukuman takzir, pihak mahkamah boleh memilih untuk menjatuhkan hukuman seperti menconteng muka penjenayah dan mengarakkannya ke seluruh kampung atau menghukum dia membuat kerja-kerja amal berbentuk kerahan tenaga. Namun, sebelum penulis meneruskan perbincangan ini, penulis ingin menasihatkan para pembaca dan pengikut ruangan ini agar jangan membuat apa-apa andaian sebelum berpuashati dengan kajian dan penjelasan para ulama dan sarjana Islam mengenainya. Amar Makruf Nahi Mungkar Dinasihatkan jangan bulat-bulat tunduk kepada hujah-hujah orang politik dan badan-badan bukan kerajaan, terutama yang tiada kaitan lagsung dengan perjuangan syariah. Allah meminta kita lakukan amar makruf dulu, kemudian barulah nahi mungkar. Yakni, tegakkan dulu kebaikan baru mencegah kemungkaran; bukan ghairah sangat nak menghukum penjahat sedangkan usaha mengajak kepada kebaikan tidak diberi perhatian yang serius. Maksudnya, lebihkan berdakwah daripada berpolitik. Islam diyakini adil kerana ia menyediakan penyelesaian dan panduan bagi setiap aspek kehidupan, termasuk di bidang perniagaan, pentadbiran, jagaan kesihatan dan pendidikan. Islam juga mempastikan adanya perundangan dan peraturan bagi masyarakat merasa selamat dan aman dalam mengerjakan rutin harian dan ketika mencari rezeki. Oleh hal yang demikian, Islam mengenakan hukuman-hukuman tersendiri keatas penjahat dan penjenayah yang sengaja mengganggu ketenteraman dan kesejahteraan awam; seperti merampas hak orang lain, membinasakan atau membunuh manusia, haiwan dan kehidupan tanpa sebab yang masuk akal dan memuaskan nafsu dengan teman yang bukan isteri atau suaminya. Maka, kanun jenayah syariah mengenakan hukum hudud, qisas, diat dan takzir; kesemuanya bertujuan untuk mencegah manusia dari melakukan maksiat dan kerosakan tapi bukan untuk menghukum secara semberono atau zalim. Sesungguhnya, hukum syariah yang Allah tetapkan adalah satu kaedah menghukum yang sungguh tinggi nilai dan hikmahnya. Ia lebih bijak, lebih tepat dan lebih adil dari hudud duniawi yang dicipta manusia. Isunya di sini ialah mengapa orang yang menentang syariah boleh menerima bentuk-bentuk hukuman seperti penjara, hukum gantung sampai mati dan hukum sebatan rotan; tetapi menentang atau menolak bentuk hukuman seperti potong tangan, rejam atau pancung? Gaya Hidup Masa Kini Masyarakat masa kini kelihatan seperti merasa lega di bawah undang-undang dan tatacara sekular yang dianggap memberi kesamarataan, keadilan dan menjaga martabat diri. Bagaimana pun, bagi pejuang-pejuang hudud dan hukum syariah, tanpa pencegahan yang tegas kesemuanya tidak akan ke mana-mana kerana penjenayah dan bakal penjenayah akan tetap memandang remeh kepada mahkamah. Mereka akan tetap bermaharaja di kawasan-kawasan perumahan dan perniagaan dan juga di jalan raya dan tempat-tempat awam yang lain. Bagi mereka yang menjadi mangsa, ia menjadi suatu tekanan dan trauma walaupun nak bersinggah di kedai runcit bagi membeli barangan isirumah atau pun nak ke tempat parkir kereta. Bagi penjenayah yang licik, hukuman denda atau penjara mendorong dia untuk menjadi lebih kreatif dan aktif mencuri semula selepas tempoh hukuman tamat. Namun, yang menentang hudud, walaupun mudah menerima undang-undang sekular dan hukuman-hukuman yang di kuatkuasakan keatas pembunuh, penyamun, pengedar dadah dan penjenayah seks, mereka merasa jelek untuk menerima undang-undang syariah yang juga mensasarkan penjahat-penjahat tersebut. Hakikatnya, walaupun orang Islam umumnya menerima hukum syariah; mereka juga sedar bahawa ia sukar dikuatkuasakan kerana gaya hidup masakini telah membuat masyarakat kita terlalu rosak aqidahnya untuk menyediakan insan-insan yang benar-benar tulus, ikhlas dan soleh untuk menguatkuasakan hukum Allah. Lagi pun, para penjenayah bukan hanya terdiri daripada mereka yang memecah masuk rumah orang lain untuk mencuri dan merompak; mereka bukan hanya terdiri daripada orang yang mengganas dengan parang dan senjata api; mereka bukan saja haiwan berupa manusia yang memperkosakan gadis sunti dan surirumah. Penjenayah ‘moden’ seperti ini wujud di sebalik topeng pemimpin masyarakat, penggiat NGO, sarjana dan ilmuan, orang profesional dan dermawan; malah di kalangan mereka juga ahli-ahli politik, ketua-ketua korporat, pakar teknologi maklumat dan pendakwah. Dapatkah kita mengenalpasti siapa di antara mereka yang boleh dianggap insan yang bersih, benar, mulia dan boleh di terima sebagai saksi, pendakwa, pembela, hakim dan tukang hukum untuk melaksanakan undang-undang Allah tanpa bersikap pilih kasih, tidak adil dan zalim? Maka, itulah ironinya. Hudud dapat dilaksanakan dengan berkesan hanya bila masyarakat sudah berubah menjadi bersih dari segala melapetaka rasuah, kejahatan dan hasad dengki, kejahilan tentang perintah Illahi dan kezaliman dari segi kata-kata dan perbuatan. Cuma dalam keadaan sedemikian kita dapat mengenali penjenayah-penjenayah tegar dan ketika itu barulah hukum hudud tidak boleh tidak, dijatuhkan keatas pesalah. Allahuwa’alam.