suria

Isu Penculikan: Sabah Laksana 'Zon Perintah Berkurung'

Rumah pengurus syarikat ternakan ikan dalam sangkar warga China yang diculik sekumpulan lima lelaki bersenjata di Pulau Baik, Lahad Datu pada kira-kira 2.45 pagi Selasa. Mangsa dikenali Yang Zai Lin, 34, berasal dari Guangzhao, China dan bekerja di syarikat Wonderful Terroce Sdn Bhd milik warga China dari Hongkong selama tiga tahun.
PETALING JAYA: Kerajaan Sabah pada Selasa mengumumkan pelaksanaan 'zon perintah berkurung' di kawasan berisiko sebagai langkah drastik mengatasi isu keselamatan termasuk membanteras jenayah penculikan di negeri itu.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman berkata tiada sebarang pergerakan dibenarkan dalam zon berkenaan.

Selain itu katanya kerajaan negeri juga akan melaksanakan 'zon kawalan' yang akan mengehadkan kemasukan mengikut masa, tempat dan keadaan.

"Sesiapa yang ingin memasuki kawasan itu perlu mendapat permit daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Selain itu kita juga bersetuju untuk mewujudkan pangkalan hadapan atau Forward Base di kawasan strategik untuk memantau keselamatan perairan Sabah," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Dua langkah berkenaan merupakan antara sembilan strategi yang diputuskan dalam mesyuarat khas Jawatankuasa Keselamatan Negeri (JKKN) yang dipengerusikannya hari ini ekoran kes penculikan terbaru melibatkan seorang pengurus sebuah syarikat pusat penternakan ikan di Pulau Baik, Lahad Datu.

Kira-kira pukul 2.45 pagi tadi, lima lelaki bersenjata, dipercayai jenis M16, menculik Yang Zai Lin, 34, dari Guangzhao, China yang telah bekerja selama tiga tahun di syarikat Wonderful Terrace Sdn Bhd, milik warga China dari Hongkong.

Selain itu menurut Musa, langkah jangka pendek dan panjang juga akan dilaksanakan termasuk membuat penyesuaian kepada organisasi, perjawatan dan pengisian pegawai dan anggota Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) selain mewujudkan radar berkeupayaan tinggi.

Katanya keupayaan anggota keselamatan dari segi logistik seperti jumlah bot laju di kawasan bersiko tinggi juga akan dipertingkatkan selain mengukuhkan pelaksanaan gerak saraf untuk mewujudkan kesedaran dalam kalangan rakyat untuk menjadi barisan pertahanan di Esscom.

Musa berkata Prosedur Operasi Standard (SOP) komunikasi Esscom juga akan diperbaiki supaya maklumat disalurkan dengan pantas kepada semua agensi keselamatan di lapangan serta menguatkuasakan 'laluan khas' dengan segera di kawasan berisiko iaitu pergerakan bot dan kapal mesti mengikut laluan yang dibenarkan sahaja.

Katanya JKKN akan meningkatkan keupayaan logistik seperti mewujudkan sokongan logistik melalui konsep 'kapal induk' untuk menjadi hab atau platform bagi pengisian minyak oleh bot-bot laju tanpa perlu balik ke daratan yang mengambil masa dan kos.

"Saya suka menegaskan bahawa sebagai Ketua Menteri dan Pengerusi JKKN, adalah menjadi tanggungjawab saya untuk memastikan keselamatan rakyat dan para pengunjung di negeri ini sentiasa terpelihara.

"Justeru, JKKN menyeru supaya semua pihak, khususnya penduduk di kawasan pantai timur Sabah, sentiasa memberi kerjasama berterusan kepada pihak berkuasa untuk menjamin keselamatan di Sabah berada pada tahap tinggi," katanya.
Musa Aman, Lahad Datu, Penculikan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain