suria

10 Cedera Dalam Letupan Bom Di Hatyai

Dua letupan bom berasing di Hatyai menyebabkan puluhan kenderaan musnah dan tujuh orang cedera.

PETALING JAYA: Sekurang-kurangnya 10 cedera dan banyak kenderaan rosak dalam dua insiden letupan bom di Hatyai.

Namun, tiada rakyat Malaysia cedera dalam insiden itu.

Bom pertama meletup kira-kira pukul 1.45 petang di hadapan kedai serbaneka 7 Eleven di Jalan Ponpichai.

Manakala bom kedua meletup berhampiran rumah pangsa anggota polis yang terletak bertentangan dengan Balai Polis Hatyai.

Sebutir bom ditemui dekat pintu masuk ke sebuah pangsapuri di dalam Hospital Prince Songkhla dan berjaya dimatikan oleh pihak berkuasa.

Difahamkan dua lagi bom turut dipasang dan lebih banyak bom dipercayai akan dipasang selepas ini walaupun polis belum mengesahkan khabar angin itu.

Bom pertama yang meletup pada pukul 1.45 petang (2.45 petang waktu Malaysia) ditanam di sebuah motosikal yang diletakkan di luar kedai serbaneka bertentangan dengan sebuah kolej teknologi.

Letupan itu menyebabkan tujuh cedera dan lima motosikal musnah.

Kurang 10 minit kemudian, bom kedua meletup di tempat letak kereta di luar sebuah balai polis, menyebabkan tiga orang cedera termasuk dua anggota polis yang berada di kawasan tersebut ketika kejadian.

Letupan itu turut menyebabkan beberapa siri letupan dari tangki gas berdekatan dan beberapa kereta terbakar.

Ketua Polis Hatyai, Pol Col Passakorn Klanwan berkata, dua mangsa yang cedera adalah anggota polis manakala yang lain adalah orang awam.

"Sekurang-kurangnya 35 kenderaan musnah akibat letupan itu," katanya.

Mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Hatyai manakala enam daripada mangsa menerima rawatan sebagai pesakit luar.

Empat mangsa lagi masih mendapatkan rawatan rapi tetapi pegawai hospital berkata mereka dalam kedaaan stabil.

Artikel Lain