suria

Mayat Kanak-kanak Ditemui Terapung

KUANTAN: Mayat murid lelaki tahun empat, Ngai Ji Hong, 10, yang lemas semasa mandi bersama dua rakannya di Sungai Pahang dekat Ulu Perting, Bentong petang Isnin berjaya ditemui pagi Selasa oleh pasukan penyelamat.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Pahang Anuar Hassan berkata, mayat ditemui tenggelam di dasar sungai berkenaan berhampiran Empangan Ulu Perting kira-kira pukul 10.29 pagi.

"Sebaik ditemui mayat mangsa itu dihantar ke Hospital Bentong untuk bedah siasat," katanya ketika dihubungi.

Murid Sekolah Kebangsaan Perting, Bentong itu yang sepatutnya menghadiri kelas tuisyen dipercayai mandi di sungai berkenaan bersama rakannya sebelum didapati hilang di antara pukul 2 hingga 3 petang Isnin.

Sementara itu katanya, usaha mencari seorang lagi mangsa, Sean Ng, 15, yang dikhuatiri lemas pada Sabtu lepas di Air Terjun Gapoi kira-kira 22 km dari Perkampungan Orang Asli Telemong dekat Bentong masih diteruskan.

Pelajar tingkatan tiga berasal dari Taman Melawati, Kuala Lumpur itu berkelah di situ bersama 11 rakannya dan didapati hilang semasa mandi di air terjun itu pada pukul 3 petang.


Orang Asli, Pahang

Artikel Sebelum

Artikel Lain