suria

Bayi Empat Bulan Maut Tersedak Susu

Gambar Hiasan

BUKIT MERTAJAM: Seorang bayi lelaki berusia empat bulan mati dipercayai tersedak susu di rumah pengasuhnya di Taman Impian Ria, Machang Bubuk di sini, Khamis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner (SAC) Mazlan Kesah berkata, Muhammad Hakimi Mohd Arsyad dihantar ibunya ke rumah pengasuh dalam keadaan baik pada 6.30 pagi.

"Tidak lama selepas itu, wanita pengasuh bayi itu mendapati Muhammad Hakimi yang ditidurkan dalam buaian tidak bergerak dan dia cuba memberi bantuan kecemasan.

"Bagaimanapun, bayi itu tetap tidak bergerak menyebabkan pengasuh itu membawa Muhammad Hakimi ke Klinik 1Malaysia di Alma sebelum disahkan meninggal dunia oleh doktor yang bertugas," katanya.

Beliau berkata, pengasuh itu kemudian menghubungi bapa bayi berkenaan, Mohd Arsyad Ahmad, 27, pada 10.35 pagi untuk memaklumkan kejadian berkenaan.

Mazlan berkata, Muhammad Hakimi dijaga pengasuh itu sejak bulan lalu setelah ibu bayi berkenaan, Rohaya Abdul Razak, 31, bekerja di sebuah kilang di Perai manakala Mohd Arsyad bekerja sebagai pengawal keselamatan.

"Hasil bedah siasat oleh Hospital Seberang Jaya mendapati bayi itu mati disebabkan tersedak susu, dan pihak kami dapati tiada sebarang unsur jenayah dalam kejadian itu," katanya.

Sementara itu, Rohaya ketika ditemui berkata laporan bedah siasat menyatakan paru-paru Muhammad Hakimi penuh dengan susu.

"Saya reda dengan ketentuan Ilahi tapi saya hairan macam mana ada banyak susu dalam paru-paru anak saya itu," katanya.

Sehubungan itu, Rohaya berkata beliau akan mendapatkan laporan lengkap daripada pihak hospital dan akan membuat laporan sekali lagi meminta polis menyiasat kejadian berkenaan secara terperinci.



Artikel Sebelum

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan