suria

TTPM Tolak Tuntutan RM125,000 Terhadap Agensi Umrah

SHAH ALAM: Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) di sini menolak kes tuntutan kos ganti rugi berjumlah RM125,000 oleh lima individu terhadap sebuah agensi pelancongan yang mengendalikan pakej umrah dan ziarah.

Presiden TTPM, Maznah Haron berkata, individu berkenaan hanya dibenar membuat tuntutan tidak melebihi kos sebenar sebanyak RM8,200 yang dibayar oleh setiap seorang itu bagi pakej umrah dan ziarah ke tiga destinasi iaitu Mekah, Madinah dan Baitulmuqaddis.

Kelima-lima individu berkenaan Mariam Bee Mohd Thaiyoob; Othman Ahmad; Suryamunawarah Usmani Othman; Johorabee Mohd Thaiyoob dan Salwahidayah Usmani Othman mengemukakan tuntutan tersebut terhadap Dasree Travel and Tours (DTT) yang beroperasi di Alor Setar, Kedah.

Mereka memohon ganti rugi sebanyak RM25,000 setiap seorang merangkumi ganti rugi perjalanan, tekanan dan tauladan setelah mendakwa agensi pelancongan itu gagal memberi keselesaan kepada pelanggan.

Dalam penghakimannya, Maznah berkata individu berkenaan tidak boleh membuat tuntutan melebihi kos tersebut dan perlu mengemukakan dokumen sokongan sebagai bukti tuntutan lebihan tersebut.

"Jika mereka mahu buat tuntutan sebab agensi umrah ini gagal beri keselesaan menyebabkan mereka tertekan dengan layanan yang diberikan, saya berpendapat supaya mereka membawa kes ini ke mahkamah sivil," katanya ketika menolak tuntutan kos ganti rugi itu pada Khamis.

Lima individu itu bagaimanapun memohon tribunal mempertimbangkan rayuan mereka supaya kes tersebut didengar semula dan Maznah kemudiannya membenarkan permohonan tersebut.

Beliau turut mengarahkan mereka berbincang dengan agensi pelancongan itu sama ada mahu membawa kes tersebut ke mahkamah sivil atau meminda tuntutan yang dikemukakan.

Maznah menetapkan 27 Mei ini bagi pendengaran semula kes tersebut.

Dalam tuntutan mereka, agensi pelancongan itu didakwa mungkir janji apabila gagal menyediakan pakej umrah dan ziarah selama 17 hari seperti yang dijanjikan bermula 7 Feb lepas, sebaliknya dipendekkan kepada 13 hari.

Tuntutan itu juga menyebut pelanggan hanya mengetahui perkara itu secara tidak sengaja daripada DTT, selepas mereka meminta surat pengesahan mengerjakan umrah untuk diberikan kepada majikan bagi tujuan permohonan cuti.


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan