suria

Lagi Suspek Pengganas Al-Syabab Diburu - Ahmad Zahid

Gambar Hiasan

TAIPING: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata polis sedang memburu beberapa lagi individu yang dipercayai ada kaitan dengan gerakan pengganas Al-Syabab susulan penangkapan seorang lelaki warga Somalia dua hari lalu.

Beliau berkata pihak berkuasa percaya ada antara individu terbabit yang berkahwin dengan wanita tempatan.

"Setakat ini mereka tidak menubuhkan pangkalan di negara ini tetapi mereka ini mempunyai ideologi," katanya kepada pemberita ketika melakukan lawatan kerja di Penjara Kamunting di sini, Jumaat.

Beliau mengulas penangkapan suspek berusia 34 tahun itu yang dikehendaki oleh polis antarabangsa kerana disyaki anggota kumpulan pengganas Al-Syabab, di Selangor.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata pihak berkuasa percaya ada beberapa anggota kumpulan pengganas terbabit memasuki negara ini menggunakan pas pelajar sejak dua tahun lalu.

Katanya, polis juga menyiasat sama ada suspek yang diberkas itu mempunyai kaitan dengan 11 individu tempatan yang ditahan sebelum ini.

Sebelas individu terbabit yang diberkas polis secara berperingkat sejak 28 April di Selangor dan ibu negara, dipercayai terbabit dengan kumpulan militan yang mempunyai rangkaian di Syria dan selatan Filipina.

Mengenai lawatan ke Penjara Kamunting hari ini, Ahmad Zahid berkata beliau akan membentangkan satu nota khas kepada Kabinet mengenai beberapa kejayaan penjara itu dalam usaha menjadikannya sebagai Penjara Agro secara rasmi.

Beliau berkata Penjara Kamunting merupakan pusat koreksional yang pertama di rantau Asean yang menjalankan kegiatan pertanian dan latihan kepada banduan.

"Jabatan ini akan bekerjasama dengan Amanah Ikhtiar Malaysia dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) untuk pembiayaan modal jika ada banduan yang telah bebas mahu mengusahakan aktiviti agro selain pendapatan yang diperolehinya ketika di penjara yang kita pindahkan ke akaun persendirian," katanya.


Artikel Lain