IPOH: Seorang suri rumah maut manakala tiga anak dan sepupunya cedera dalam kemalangan melibatkan dua kenderaan di Kilometer 1, Jalan Sitiawan-Beruas dekat Sitiawan petang Sabtu. Ketua Polis Daerah Manjung ACP Jaafar Baba berkata Sharina Ramzan Mohd, 35, meninggal dunia di Hospital Seri Manjung manakala anak perempuannya Nursyairah Mubarak Ali, 6, serta sepupu yang dikenali sebagai Nazrana, 27, cedera parah dalam kejadian 4.20 petang itu. "Siasatan awal mendapati kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Avanza yang dipandu seorang lelaki telah memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan kereta Proton Wira yang dipandu Sharina dari arah Sitiawan," katanya dalam kenyataan di sini, Ahad. Beliau berkata pemandu MPV Cheng Sing Hieng, 22, dan dua lagi anak Sharina iaitu Shafikah, 12, dan Muhammad, 10, masing-masing cedera ringan dan dirawat di hospital sama. Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.