PETALING JAYA: Seramai 350 orang kakitangan syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia daripada pelbagai jabatan bergabung tenaga bertindak sebagai sukarelawan untuk membantu para pengguna di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) yang baharu sahaja dibuka kepada umum 2 Mei lalu. Ketua Jabatan Sumber Manusia AirAsia, Adzhar Ibrahim berkata, misi program tersebut adalah untuk memberikan bntuan kepada pengguna lapangan terbang tesebut dalam memberikan maklumat dan informasi mengenai KLIA2. "Sukarelawan AirAsia adalah satu pasukan yang berdedikasi yang mana misinya adalah untuk menyediakan bantuan kepada para tetamu di lapangan terbang KLIA2. "Sejak tiga hari lalu, sukarelawan kami berkhidmat sebagai sumber maklumat lengkap untuk membantu para penumpang untuk mencari lokasi pintu, semak status penerbangan, tuntutan bagasi, informasi pengangkutan awam serta pertanyaan umum," katanya. Tambah Adzhar lagi, usaha yang diterajui oleh pihak Sumber Manusia AirAsia itu merangkumi sekarelawan yang dibahagikan kepada empat syif bermula seawal pukul 5 pagi dan berkahir pada 12 tengah malam setiap hari termasuk hujung minggu. Dalam pada itu, Adzhar berkata, sambutan yang diterima daripada kakitangan AirAsia amat menggalakkan bukan sahaja dari Malaysia malah Thailand dan Indonesia. Malah katanya lagi, bilangan sukarelawan melebihi daripada jumlah sebenar diperlukan dan kesediaan mereka membantu mencerminkan semangat setia kawan yang tinggi dan nilai-nilai kekeluargaan yang diterapkan oleh pihak pengurusan. Salah seorang sukarelawan membantu seorang pelancong di KLIA2. "Sukarelawan ini terdiri daripada kakitangan korporat AirAsia yang rela menawarkan perkhidmatan mereka untuk membantu kakitangan operasi yang bekerja di lapangan terbang baru. Matlamat utama pasukan ini adalah untuk memastikan kelancaran operasi dan pergerakan penumpang. "Pasukan sukarelawan AirAsia ini berpakaian kemeja T merah mudah dikenal pasti oleh pengunjung dan ditempatkan di pelbagai sudut di ruang KLIA2 termasuk pusat membeli-belah Gateway.," katanya. Sementara itu, salah seorang sukarelawan Yvonne Lady Diana John Brian Anthony dari Jabatan Budaya Korporat syarikat penerbangan itu berkata, majoriti pengguna masih tidak dapat membiasakan diri dengan persekitaran lapangan terbang baharu itu dan adalah menjadi tanggungjawab mereka untuk memastikan semua penumpang menuju ke tempat yang betul. Manakala petugas AirAsia dari jabatan Pra-Penerbangan, Elizabeth Soon Sze Chin berkata, mereka juga sentiasa memastikan semua penumpang memasuki pintu berlepas tepat pada masanya memandangkan masa yang agak panjang diperlukan untuk ke balai berlepas. “Diantara nasihat yang biasa diberikan kepada tetamu ialah untuk sampai ke pintu berlepas masing-masing tepat pada masa, kerana ada setengah tetamu yang leka ketika berada di tempat membeli-belah yang ada di dalam KLIA2. "Masa yang diperlukan untuk bergerak dari satu tempat ke balai berlepas agak lama jika dibandingkan dengan LCCT dan para penumpang perlu merancang masa mereka dengan betul," katanya. Program sukarela AirAsia akan diteruskan selama sebulan bagi memastikan kelancaran operasi di KLIA2.