Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata hasil pemeriksaan bedah siasat dijalankan terhadap mayat lelaki warganegara Indonesia berumur 64 tahun itu mendapati punca kematian akibat serangan jantung.
"Jenazah kes kematian telah dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat dan sampel telah dihantar ke makmal Hospital Sungai Buloh untuk menentukan penyebab kematian.
"Memandangkan kes baru pulang daripada mengerjakan umrah, sampel juga telah diambil untuk ujian saringan bagi jangkitan MERS-CoV dan didapati negatif untuk MERS-CoV," katanya dalam kenyataan di sini, Ahad.
"Semasa dalam penerbangan dari Jeddah ke Kuala Lumpur, beliau telah mengalami kesukaran untuk bernafas dan kemudiannya meninggal dunia," katanya.
Sehubungan itu, Dr Noor Hisham berkata Kementerian Kesihatan melaksanakan aktiviti pencegahan serta kawalan MERS-CoV mengikut pelan tindakan yang ditetapkan sebagai langkah berjaga-jaga.
Antaranya mendapatkan maklumat lengkap tentang kesemua kontak rapat kepada kes dan menjalankan disinfeksi pesawat mengikut prosedur operasi standard ditetapkan.
Selain itu, kementerian turut menjalankan saringan demam terhadap kesemua 244 penumpang dan 12 anak kapal yang menaiki pesawat sama serta mengedarkan 'Home Assessment Tool' dan 'Health Alert Card' kepada penumpang bergejala dan kontak rapat kepada kes.