NAY PYI TAW (Myanmar): Pemimpin Asean memulakan perhimpunan dua kali setahun mereka di ibu negara Myanmar ini bagi membincangkan masa depan Komuniti Asean, hubungan luar dan hala tuju Asean. Pengerusi sidang kemuncak U Thein Sein mengetuai pemimpin dari sembilan lagi negara dan Setiausaha Agung Asean Le Luong Minh untuk merakamkan gambar kenang-kenangan sebelum memulakan Sidang Kemuncak Asean Ke-24 dan disusuli mesyuarat berkaitan. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengetuai delegasi Malaysia ke sidang kemuncak itu, dengan Malaysia merancang meletakkan asas bagi visi pewujudan Komuniti Asean pasca 2015 dan pada masa sama meningkatkan kerjasama dan mengukuhkan perpaduan menerusi semangat Asean. Mesyuarat kali ini amat penting bagi Malaysia, yang akan mengambil alih peranan sebagai pengerusi Asean tahun depan, serentak dengan pewujudan Komuniti Asean. Berbaki setahun lagi sebelum matlamat integrasi Asean itu direalisasikan, para pemimpin dijangka membincangkan perkembangan pelaksanaan Pelan Hala Tuju Komuniti Asean, Pelan Kerja 11 Inisiatif Integrasi Asean dan Pelan Induk Kesaling Hubungan Asean. Pemimpin Asean yang menghadiri sidang kemuncak termasuk Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah, Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono, Perdana Menteri Kemboja Hun Sen, Perdana Menteri Laos Thongsing Thamavong, Presiden Filipina Benigno Aquino, Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong dan Perdana Menteri Vietnam Nguyen Tan Dung. Thailand diwakili Timbalan Perdana Menteri Phongthep Thepkanjana. Bertema "Moving Forward in Unity to a Peaceful and Prosperous Community" (Melangkah Ke Arah Komuniti yang Aman dan Makmur), pemimpin dijangka menerima pakai beberapa dokumen penting pada sidang kemuncak termasuk Deklarasi Nay Pyi Taw dan terma rujukan Setiausaha Agung Asean sebagai Penolong Penyelaras Bantuan Kemanusiaan Asean. Pemimpin-pemimpin juga akan memberi perhatian kepada lima dokumen iaitu Laporan Majlis Komuniti Keselamatan Politik Asean, Laporan Majlis Komuniti Ekonomi Asean, Laporan Majlis Komuniti Sosial dan Budaya Asean, Laporan Setiausaha Agung bagi Sidang Kemuncak Asean Ke-24 dan Usaha Asean dan Laporan Pengarah Eksekutif Yayasan Asean. Myanmar mempengerusikan Sidang Kemuncak Asean buat julung kalinya tahun ini selepas menyertai perkumpulan serantau itu pada 1997. Ditubuhkan pada 1967, Asean atau Persatuan Negara-negara Asia Tenggara, dianggotai Brunei Darussalam, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Singapura, Thailand, Filipina dan Vietnam.