IPOH: MCA tidak bersedia untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Bukit Gelugor. Setaiusaha Agung MCA, Datuk Seri Ong Ka Chuan berkata, selepas mesyuarat tergempar parti itu pada Sabtu, diputuskan bahawa MCA perlu memberi fokus kepada usaha memperkukuhkan parti. "Ia bukan keputusan yang mudah. Kami adakan perbincangan yang panjang dengan ahli akar umbi dan pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN). "Malah parti juga membuat kajian dan bacaan di Bukit Gelugor sejak Karpal Singh meninggal dunia," katanya kepada pemberita di SJKC Yuh Hua di sini pada Ahad. "Baru setahun berlalu selepas PRU-13, kami tidak lihat sebarang petunjuk positif untuk memenangi kembali kerusi tersebut," katanya. Tambah beliau adalah lebih baik untuk menggunakan masa yang ada untuk memperkukuhkan parti. "Kami cuba mengenal pasti calon boleh menang malah ramai yang tampil menawarkan diri untuk bertanding. "Cuma kami tidak boleh capai matlamat itu sekarang," katanya sambil menambah bahawa MCA akan kembali kuat pada pilihan raya umum akan datang. PRK Parlimen Bukit Gelugor diadakan berikutan kematian penyandangnya Karpal Singh dalam kemalangan jalan raya 17 April lepas. Dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13, tahun lepas, mendiang Karpal Singh menewaskan calon MCA, Teh Beng Yeam dari Barisan Nasional (BN) dengan majoriti 42,706 undi. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan esok (Isnin) sebagai hari penamaan calon manakala pengundian awal pada 21 Mei dan hari mengundi pada 25 Mei ini.