PETALING JAYA: Kontroversi pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang berlangsung sejak tiga minggu lalu akhirnya sampai ke kemuncak apabila proses pemilihan di Selangor mencetuskan ketegangan termasuk dakwaan kewujudan politik wang. Difahamkan proses pengundian di sembilan cabang PKR di negeri ini terpaksa dibatalkan ekoran pelbagai dakwaan penipuan dan sabotaj. Sembilan cabang-cabang berkenaan ialah Subang, Hulu Langat, Sabak Bernam, Kuala Langat, Sepang, Klang, Kuala Selangor, Kota Raja dan Selayang. Salah satu cabang bermasalah itu iaitu di Kuala Selangor membabitkan penyertaan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang bertanding jawatan ketua cabang berkenaan. Abdul Khalid yang juga calon bagi jawatan timbalan presiden PKR, berdepan tuduhan mengamalkan politik wang sebagai umpang mendapatkan undi dikawasannya. Tuduhan berkenaan dibuat pencabarnya untuk jawatan Ketua Cabang Kuala Selangor, S. Manikavasagam yang bersedia mengemukakan bukti dalam tempoh terdekat.