SEREMBAN: Polis menahan 18 orang termasuk tiga wanita dalam operasi membanteras kegiatan sindiket penipuan gores dan menang yang semakin berleluasa di sekitar bandar ini, pagi Isnin. Operasi dua jam mulai 10 pagi itu dijalankan sepasukan anggota polis dari Jabatan Sisatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Supt Ramli Mohd Nor berkata 10 orang daripada mereka ditahan di Pasar Besar Seremban, empat di Jalan Pasar manakala selebihnya di Jalan Datuk Datuk Bandar Tunggal. Mereka yang ditahan berumur antara 20-an dan 30-an dan akan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. "Operasi dijalankan berikutan aduan orang ramai serta membabitkan kerugian bernilai ratusan ribu ringgit. Kita bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) bagi memastikan kegiatan sindiket itu ditangani hingga ke akar umbi," katanya di sini. Ramli berkata polis turut menerima aduan sindiket itu bukan hanya memperdaya, malah turut melakukan ugutan kepada orang ramai.