KUALA LUMPUR: Dua lelaki ditahan, manakala pelbagai peralatan pecah rumah dan curi ditemui selepas polis mengejar kenderaan yang memecut apabila diarah berhenti dalam pemeriksaan berhampiran Muzium Negara, awal pagi Selasa. Sumber berkata, ketika kejadian, anggota peronda terserempak dengan sebuah kereta jenis Honda Integra putih yang dinaiki dua lelaki dalam keadaan mencurigakan. "Apabila menahan kereta itu, mereka terus memecut ke arah Ampang sebelum berpatah balik ke Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dan dipintas berhampiran Taman Melati dengan bantuan kereta peronda dari Sentul dan Wangsa Maju. "Kedua-dua suspek yang cuba melarikan diri bagaimanapun dapat ditahan," katanya. Sumber itu berkata, pemeriksaan terhadap kenderaan suspek menemui pemutar skru, pemotong wayar, pisau dan sebagainya. "Siasatan awal mendapati salah seorang lelaki berusia 35 tahun dari Damansara Utama itu adalah suspek beberapa kes curi di Kajang dan Damansara, manakala rakanya yang berusia 29 tahun dan berasal dari Rumah Awam Bertam Malim, Melaka tiada rekod jenayah. "Selain itu, semakan kenderaan suspek mendapati nombor chasis disyaki diusik dan diubah suai," katanya. Sumber itu berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas, selain Seksyen 6 Akta Senjata Berbahaya dan Seksyen 28(1) Akta Kesalahan Kecil kerana memiliki perkakasan pecah rumah serta dan Seksyen 411 Kanun Keseksaan kerana memiliki harta curi.