suria

Pemilihan PKR: Kem Azmin, Khalid Dakwa Dahului Saingan

PETALING JAYA: Kem Mohamed Azmin Ali dan Tan Sri Khalid Ibrahim masing-masing mendakwa mendahului saingan bagi merebut kerusi Timbalan Presiden dalam pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang masuk minggu keempat.

Bagaimanapun sumber terdekat dengan Azmin mendakwa penyandang jawatan kedua tertinggi parti itu yang sedang mendahului dengan majoriti 5,000 undi berdasarkan keputusan pengundinan pada minggu ketiga pemilihan parti. 

Angka tersebut dipertikaikan oleh penyokong Abdul Khalid yang kemudian mendakwa Menteri Besar Selangor itu hanya ketinggalan dibelakang Azmin dengan 1,000 undi apabila memperoleh 10,851 undi, manakala Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak itu mendapat 11,300 undi.

Bagaimanapun mengikut keputusan tidak rasmi yang dikeluarkan setakat pukul 9 pagi Khamis menunjukkan, Azmin masih dihadapan dengan 16,181 undi atau 46 peratus daripada keseluruhan jumlah undi.

Keputusan minggu lalu juga menunjukkan Abdul Khalid ditangga kedua dengan mencatatkan 11,839 undi atau 32 peratus undi popular, manakala Setiausaha Agung, Datuk Saifuddin Nasution Ismail ditempat ketiga dengan 7,627 undi atau 21 peratus.

"Penyokong Khalid cuba mengatakan dia dihadapan sedangkan realitinya tidak," kata sumber berkenaan. 

Walaupun wujud perbezaan yang agak ketara, penyokong kem Abdul Khalid masih optimis bahawa Abdul Khalid akan berjaya mengetepikan Azmin sekiranya pengundian semula di 27 Cabang berlangsung secara telus, bebas dan berintegriti. 

Sebanyak 27 Cabang akan mengadakan pemilihan semula ekoran berlaku penipuan dalam pemilihan parti hujung minggu ini.

Cabang berkenaan ialah Hulu Langat, Sabak Bernam, Sungai Besar, Subang, Klang, Selayang, Kota Raja, Kuala Selangor,  Hulu Selangor, Kapar, Setiu, Kuala Nerus, Kemaman, Dungun, Paya Besar, Nibong Tebal, Jerantut, Batang Sadong, Kapit, Pengerang, Tenggara, Tenom, Keningau, Bukit Katil, Tawau, Papar dan Sg Petani.

Artikel Lain