GEORGE TOWN: Hari keempat kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Bukit Gelugor dilihat hambar apabila tiada sepanduk dan bendera parti bertanding memenuhi jalan raya atau kawasan perumahan bagi merebut kerusi P51 pada 25 Mei ini. Suasana sepanjang jalan menuju ke Air Itam dan Gelugor hanya digantung bendera DAP dan bunting gambar calonnya, Ramkarpal Singh Deo yang tertera perkataan 'I am Karpal Singh'. Keadaan ini jauh berbeza dengan kemeriahan perang bendera yang merentangi jalan raya dipacakkan di kiri kanan jalan ketika Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), Mei tahun lalu. Di sepanjang Jalan Besi di sini, juga kelihatan bendera DAP yang mengingatkan orang ramai seolah-olah kawasan itu milik DAP. Beberapa penduduk yang ditemui juga menganggap kempen kali ini kurang terasa bahangnya disebabkan tiada calon MCA. Seorang peniaga pasar malam di Taman Tun Sardon di Gelugor, Asiah Mahat berkata, dia kecewa kerana Barisan Nasional (BN) tidak menurunkan calonnya kali ini. "Saya kecewa kerana BN tidak bertanding di Parlimen ini. Saya berharap calon BN bertanding kerana sekurang-kurangnya orang Melayu disini dapat meluahkan masalah dan rasa tidak puas hati terhadap kerajaan negeri," katanya ketika ditemui mStar Online di Air Itam di sini, Khamis. Seorang lagi penduduk yang tinggal berdekatan Universiti Sains Malaysia pula menganggap kemeriahan kempen tentu dapat dirasakan jika ada calon BN pada PRK itu. "Tapi dah itu keputusan parti, kita terima saja, mungkin juga ada kebaikannya," katanya. Seorang pemilik farmasi yang hanya ingin dikenali sebagai Lau berkata, calon yang akan memenangi PRK kali ini sudah dapat diramal. "Melihatkan calon yang bertanding, mungkin juga DAP akan mempertahankan kerusi mereka di sini," katanya.