Mangsa yang terbunuh ialah Syed Mohd Qawi Syed Mohd Haika manakala ibunya, Rafidah Hashim, 38, dan nenek, Zabedah Dahan, 66, cedera parah.
Ketua Polis Daerah Pekan Superintenden Yahaya Othman berkata dalam insiden pukul 7.30 malam itu, bapa mangsa, Syed Mohd Haika Syed Abd Wahab, 39, memandu kereta berkenaan untuk pulang ke rumah mereka di Kampung Serekam dekat Maran dari Paloh Hinai.
"Di tempat kejadian, dipercayai kereta yang dinaiki mangsa telah terlanggar seekor kerbau yang berada di atas jalan.
"Akibat itu, mangsa yang berada di tempat duduk penumpang hadapan bersama ibunya mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Klinik Kesihatan Maran," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Beliau berkata Syed Mohd Haika dan tiga lagi anaknya, iaitu Syed Muhd Qhayyum, 10, Sharifah Nurnillahi Kasheefah, 7, danSharifah Nurkhaleeda, 5, tidak mengalami sebarang kecederaan.
Katanya, siasatan awal mendapati ketika kejadian hujan renyai dan cuaca di kawasan itu gelap berikutan tiada lampu jalan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41( 1 ) Akta Pengangkutan Jalan1987.