Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Datuk Dr Lokman Hakim Sulaiman dalam satu kenyataan berkata operasi tersebut melibatkan Kementerian Kesihatan dengan kerjasama pelbagai agensi seperti Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat.
Katanya, objektif utama pelaksanaan operasi itu adalah memastikan pematuhan larangan merokok di dalam kenderaan awam khususnya oleh pemandu kenderaan awam dan penumpang.
"Operasi ini juga bertujuan memastikan semua pemilik kenderaan awam mempamerkan tanda larangan merokok dengan jelas di dalam kenderaan awam masing-masing seperti di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004.
Dr Lokman berkata bagi setiap kesalahan merokok di dalam kenderaan awam boleh dikompaun tidak melebihi RM5,000, didenda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjara maksimum dua tahun.
Manakala bagi kegagalan mempamerkan tanda larangan merokok di dalam kenderaan awam, pemilik kenderaan boleh dikompaun tidak melebihi RM1,500, didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjara maksimum enam bulan, katanya.
Katanya, Kementerian Kesihatan juga akan menguatkuasakan peruntukan baharu di dalam PPKHT (Pindaan) 2013 mengenai larangan menjual, membeli atau memiliki rokok tidak sah.
"Peraturan 15 (4A) telah dikuatkuasa pada 1 Januari tahun ini di mana sesiapa yang memiliki rokok tidak sah iaitu tidak dicetak dengan imej amaran kesihatan, mereka boleh dikompaun tidak melebihi RM5,000, denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya," katanya.