suria

KBS Mohon Semula Akreditasi Pusat Doping USM - Khairy

Khairy melawat Pusat Kawalan Doping, USM, Ahad.
GEORGE TOWN: 

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan memohon semula akreditasi Agensi Anti-Doping Dunia (Wada) untuk Pusat Kawalan Doping Universiti Sains Malaysia (USM) akhir tahun ini.


Menteri berkenaan Khairy Jamaluddin berkata, Wada memberi peluang dan keutamaan kepada Malaysia untuk mendapatkan kembali akreditasi itu.

Beliau berkata, pihaknya masih dalam proses untuk mengemukakan satu peruntukan muktamad berhubung keperluan sebenar bagi mendapatkan akreditasi berkenaan selaras dengan syarat yang ditetapkan oleh agensi itu.

"Dengan adanya akreditasi ini, maka kita akan dapat buat ujian doping di USM tanpa perlu menghantar sampel ke luar negara. Ini penting apabila Malaysia menjadi tuan rumah Sukan SEA pada 2017.

"Saya telah maklumkan pada pihak USM dan Pusat Kawalan Doping USM supaya usaha mendapatkan semula akreditasi Wada mesti bermula tahun ini supaya selewat-lewatnya kita dapat akreditasi itu pada tahun 2016," katanya kepada pemberita selepas melawat pusat itu di sini, Ahad.

Pusat Kawalan Doping USM menjadi makmal anti-doping antarabangsa selama 15 tahun sebelum Wada menggantung akreditasi pusat itu pada Jun 2010 kerana ketidakpatuhan kepada Standard Antarabangsa Untuk Makmal (ISL).

Rayuan USM terhadap keputusan Wada itu ditolak oleh Mahkamah Timbang Tara Sukan yang berpangkalan di Lausanne, Switzerland, pada Jun 2011.

Khairy berkata, buat masa ini semua sampel ujian doping atlet di negara ini dihantar ke India dan ia melibatkan perbelanjaan yang tinggi dengan setiap sampel yang dihantar membabitkan kos lebih RM646 (AS$200).

Dalam pada itu, Khairy berkata atlet Sukan Malaysia (Sukma) ke-17 sudah menjalani ujian doping dan ujian alkohol dan pihaknya akan turut menjalankan ujian itu secara rawak semasa kejohanan.

Sementara itu, Khairy berkata, status penggunaan Pusat Akuatik di Kompleks Sukan Negeri di Kangar, Perlis, bagi temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-17 akan ditentukan, Selasa ini.

Beliau berkata, sekretariat Sukma sudah menerima kesemua venue untuk Sukma yang bermula 24 Mei hingga 5 Jun ini kecuali Pusat Akuatik.

"Saya sendiri telah melawat pusat akuatik dua minggu lepas dan mendapati kolam renang hampir siap, cuma kolam terjun sahaja yang sedikit di belakang jadual.

"Pada Selasa nanti, saya akan dapat laporan dan kami akan buat keputusan sama ada kita dapat gunakan pusat akuatik di Kangar atau tidak.

"Itu juga tertakluk kepada sijil kebolehpakaian yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan yang disahkan oleh Jabatan Kerja Raya dan Kesatuan Renang Amatur Malaysia.

"Kalau ketiga-tiga itu dapat diperoleh maka kita boleh guna pusat akuatik itu," katanya.


KBS, Wada, Pusat Kawalan Doping, USM

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain