GEORGE TOWN: Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim menyifatkan isu perlaksanaan hukum hudud hanya gimik politik pihak tertentu. Menurut beliau setiap kali tibanya pilihan raya, isu tertentu akan dibangkitkan untuk menarik perhatian umum. "Mengapa kita tidak mencari jalan penyelesaian untuk membantu kira-kira 75 peratus golongan belia beragama Islam yang terlibat dalam kegiatan penagihan dadah?" soalnya ketika forum "Undang-undang Hudud: Perbualan Terbuka Untuk Golongan Plural di Malaysia" di sini, pada Sabtu malam. Katanya, Umno dan PAS seharusnya menubuhkan jawatankuasa taktikal untuk menangani isu sosial di kalangan orang Melayu dan masyarakat Islam dalam negara berbanding berterusan berdebat mengenai hudud. Selain itu Zaid turut membidas pihak tertentu yang membuat kenyataan agar orang Cina supaya kembali ke China. "Saya mahu negara ini dan pemimpin kita supaya berhenti daripada terus menggunakan isu berlaian agama dan bangsa untuk kepentingan politik mereka. "Perkara ini sudah pergi jauh dan kita perlu segera hentikannya," katanya.