TELUK INTAN: Calon DAP Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan, Dyana Sofya Mohd Daud sedia menghadapi pelbagai tohmahan terhadapnya kerana mendakwa sokongan ibunya, seorang ahli Umno disifatkan pembakar semangat bagi meneruskan perjuangan. Sehubungan itu, beliau mahu Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil supaya mencontohi ibunya. "Walaupun ibu merupakan ahli Umno, masing-masing berlainan parti politik tetapi ibu masih memberi sokongan. “Sekiranya saya memilih cara Shahrizat dan Umno, saya tidak akan berada seperti saya sekarang. Saya mahu berusaha untuk menyertai Parlimen sebagai wakil rakyat Teluk Intan dan jika terpilih, saya akan menjadi Ahli Parlimen paling muda," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad. Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan Shahrizat pada Sabtu bahawa pencalonan Dyana dalam PRK Teluk Intan hanya diperalat oleh parti itu. Dyana yang menafikan perkara itu sebaliknya berkata, DAP menghargai wanita dengan membawa golongan itu untuk memegang peranan lebih besar dalam kerajaan bagi mewujudkan keseimbangan antara wakil lelaki dan wanita. Ahli DAP sejak 2011 itu menambah, kenyataan Shahrizat yang memperkecilkan beliau hanya menunjukkan kegagalan sayap parti Umno itu. PRK Teluk Intan diadakan berikutan kematian penyandang kerusi Parlimen itu, Seah Leong Peng akibat kanser pada 1 Mei lalu. Dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) Mei tahun lalu, Leong Peng mengalahkan calon BN, Datuk Mah Siew Keong dan calon bebas, K. Moralingam dengan majoriti 7,313 undi.