TELUK INTAN: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan berbincang dengan penasihat undang-undangnya jika terdapat parti politik mengadakan kempen lebih awal sebelum hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan. Setiausahanya, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, pihaknya perlu berbincang dengan penasihat undang-undang sekiranya berlaku perkara yang tidak sepatutnya berkaitan pilihan raya. “Jika ada yang melanggar peraturan kita akan teliti perkara itu (sebelum ambil tindakan). “Kempen hanya boleh mula dimulakan selepas RO (pegawai pengurus pilihan raya) membuat pengumuman (pada hari penamaan calon),” katanya pada sidang media selepas melawat pusat penamaan calon di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Perak di sini, Ahad. Turut hadir Pengarah SPR Perak, Ahmad Adli Abdullah. Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai calon DAP untuk PRK Teluk Intan, Dyana Sofya Mohd Daud yang mengadakan kempen lebih awal pada Ahad. Abdul Ghani berkata, sesi ceramah juga sebahagian kempen dan ia dilarang sebelum hari penamaan calon. Satu majlis pelancaran jentera Pakatan Rakyat PRK Teluk Intan dijadualkan diadakan di Kampung Bahagia di sini, Ahad. Antara barisan penceramah yang dijangka hadir ialah Dyana sendiri, selain Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PRK), Mohamed Azmin Ali; Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu atau Mat Sabu.