GEORGE TOWN: Kenyataan calon Bebas, Mohamed Nabi Bux Mohd Abd Sathar yang mendakwa Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menyokong pelaksanaan hukum hudud disifatkan sebagai satu pembohongan dan berniat jahat. Pengerusi DAP Bukit Gelugor, Wong Hon Wai yang mengecam perbuatan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Bukit Gelugor itu juga percaya Mohamed Nabi Bux tidak dapat membuktikan kenyataannya itu. "Mohamed Nabi Bux telah melakukan pembohongan dan beliau tidak dapat membuktikan kenyataan itu (hudud)," katanya menerusi satu kenyataan pada Isnin. Hon Wai yang juga setiausaha politik kepada Guan Eng berkata, Ketua Menteri itu tetap dengan pendirian parti menentang pelaksanaan hukum hudud di negara ini. "Guan Eng telah menyatakan atas kapasiti sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang dan Setiausaha Agung DAP bahawa beliau tidak menyokong pembentangan rang undang-undang persendirian di Dewan Rakyat mengenai pelaksanaan hudud di Kelantan. "Malah Guan Eng turut menyatakan hudud tidak akan dilaksanakan di negeri ini. Kenyataan tersebut juga telah dilaporkan media massa," katanya. Terdahulu, Mohamed Nabi Bux mendakwa Guan Eng secara sulit menyokong pelaksanaan hukum hudud di Kelantan demi mengambil hati pemimpin PAS. Ditanya bila Guan Eng menyatakan sokongannya terhadap hukum hudud, Mohamed Nabi Bux berkata: "Dia tidak akan beritahu saya atau rakyat, beliau akan beritahu pemimpin PAS."