KUALA LUMPUR: Walaupun Barisan Nasional (BN) tidak bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Bukit Gelugor, namun MCA menggesa pengundi di situ menolak DAP bagi memberi tekanan kepada PAS yang berhasrat melaksanakan hukum hudud. Gesaan itu turut digunakan oleh MCA terhadap pengundi di kawasan PRK Parlimen Teluk Intan yang menyaksikan calon DAP bertemu BN. Pengerusi Biro Hal Ehwal Agama Dan Keharmonian MCA, Datuk Tan Lian Ker berkata, DAP gagal menyekat sekutunya iaitu PAS daripada melaksanakan hudud di Kelantan. Jelasnya, dengan tindakan itu, ia membuktikan pakatan gagal menghormati rakyat negara ini yang terdiri daripada pelbagai kaum. "Saya menggesa pengundi di kedua-dua kawasan khususnya yang bukan Islam supaya menolak pakatan," katanya sambil menambah PAS telah menipu rakyat bahawa mereka hanya akan melaksanakan negara kebajikan dan bukannya hudud pada sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 lalu. "Mereka (pakatan) hanya bermain politik dan menghina kestabilan politik pelbagai kaum khususnya bagi yang bukan Islam," ujarnya.